HALAMAN SANTAI

Rabu, 26 Ogos 2009

Mahkamah sahkan cerai talak satu pelakon Santau

BERITA HARIAN ONLINE


HULU LANGAT: Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam mengesahkan perceraian secara taklik talak satu pelakon utama filem Santau, Puteri Mardiana Zainal Abidin, 28, dengan suaminya Shahnaz Norwawi, 32, yang dibuat melalui telefon bimbitnya.

Hakim Syarie Mohd Fazil Hasan membuat keputusan itu selepas mahkamah berpuashati dengan keterangan kedua-dua pihak plaintif iaitu Shahnaz menuturkan taklik berkenaan secara lisan melalui panggilan telefon kepada defendan.

“Selepas mahkamah meneliti keterangan kedua-dua pihak, saya mensabitkan lafaz taklik yang dibuat plaintif melalui telefon bimbitnya iaitu ‘Kalau you keluar rumah tanpa izin atau dengan tiada alasan yang munasabah, maka jatuhlah talak’.

“Defendan iaitu Puteri Mardiana juga mengakui plaintif ada menuturkan taklik berkenaan melalui telefon pada jam 10 malam 1 Jun 2009 dan turut mengakui beliau melanggar syarat taklik berkenaan dengan keluar dari rumah pada 3 Julai 2009 tanpa memberitahu plaintif.

“Oleh itu, mahkamah mensabitkan lafaz taklik berkenaan sebagai jatuhnya talak satu,” katanya.

Terdahulu, Puteri Mardiana ketika menjawab soalan dikemukakan hakim di dalam kandang saksi menangis teresak-esak apabila ditanya sama ada beliau memahami taklik serta keterangan yang dibuat oleh suaminya itu dan dilihat hanya mampu mengangguk.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Puteri Mardiana berkata, beliau tidak mahu memanjangkan lagi kisah perceraian itu dan mahu mengadakan perbincangan secara baik dengan bekas suaminya mengenai masa depan tiga orang anak mereka yang berusia antara lima hingga tiga tahun itu.

Shahnaz yang juga seorang perunding kejuruteraan berkata, beliau akan menjaga tiga anak mereka dan tidak menolak untuk berbincang secara baik.

Tiada ulasan: