Terbabit edar dadah di Singapura
BERNAMA
SINGAPURA: Dua warga Malaysia, seorang daripadanya wanita, dijatuhi hukuman mati oleh mahkamah semalam kerana mengedar dadah.
Pang Siew Fum, 54, dan Cheong Chun Yin, 26, ditahan pegawai Biro Narkotik Pusat (CNB) negara bandar raya ini pada 17 Jun 2008 selepas mereka didapati mengedar sejumlah 7.7 kilogram diamorphine.
Media tempatan semalam melaporkan bahawa Cheong tiba di Lapangan Terbang Changi menaiki penerbangan SilkAir dari Myanmar dengan membawa sebuah beg bagasi beroda.
Dia kemudian bertemu Pang di Terminal 2 dan menyerahkan beg itu kepadanya di tempat meletak kereta sebelum beredar dengan menaiki teksi manakala Pang pula memandu menuju Toa Payoh.
Pegawai CNB yang mengekori pasangan itu kemudian menahan mereka. Kira-kira 2.7kg diamorphine ditemui dalam beg hitam itu dan di rumah Pang, pegawai berkenaan menjumpai dua lagi beg bagasi mengandungi kira-kira lima kilogram diamorphine.
Pang mendakwa dia menyangka beg diserahkan kepadanya oleh Cheong mengandungi batu berharga dan loket Buddha, manakala Cheong pula mendakwa dia sangkakan beg itu memuatkan kepingan emas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan