Tiga negeri tak benar kerajaan bina pusat didikan kanak-kanak
Oleh Faiza Zainudin
KUALA LUMPUR: Usaha Kerajaan Pusat memperluas penubuhan Pusat Permata Negara di seluruh negara menghadapi masalah berikutan tiga negeri yang ditadbir kerajaan pembangkang tidak membenarkan pusat itu dibina di atas tanah milik kerajaan negeri.
Isteri Perdana Menteri yang juga Penaung Program Permata Pintar Negara, Datin Seri Rosmah Mansor, berkata tiga negeri berkenaan, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang tidak meluluskan permohonan berkenaan yang bertujuan memastikan kanak-kanak bawah usia lima tahun mendapat pendidikan awal yang sempurna.
Sehubungan itu, katanya pihaknya terpaksa membeli rumah atau rumah kedai siap dibina pemaju swasta dengan harga berpatutan untuk diubah suai bagi dijadikan bangunan pusat itu.
“Kita tidak memilih atau meminggir mana-mana negeri untuk menubuhkan Pusat Permata Negara, tetapi kerana masalah teknikal kita buat sekadar yang mampu, tapi kita rasakan kanak-kanak di negeri ini tidak dapat pendidikan awal yang sepatutnya mereka terima,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dasar Program Permata Negara di kediamannya di sini, semalam.
Rosmah berkata bagi memperkasa program itu, pihaknya bercadang menubuh tiga lagi pusat berkenaan di tiga kawasan Parlimen setiap negeri tahun ini.
Katanya, program itu juga membabitkan perluasan di 88 taska Kemas, 35 taska Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dan 57 taska tempat kerja dan taska komuniti dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM100 juta.
“Sehingga kini program Permata Negara berjaya diperluas kepada kira-kira 427 taska di seluruh negara menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi 1 (PRE 1) dan memberi faedah kepada hampir 16,000 anak Permata dari luar bandar dan berpendapatan rendah,” katanya.
Sementara itu, Rosmah berkata, pihaknya hanya menerima penyertaan dari 15 remaja yang suka menunggang motosikal (mat rempit) untuk menyertai program Perkasa Remaja yang dilaksanakan buat julung kalinya 1 Mac depan.
Dalam perkembangan lain, Rosmah berkata pihaknya akan memilih 1,000 peserta termasuk 10 pelajar negara Asean bagi menyertai program perkhemahan Cuti Sekolah Permata Pintar dan 50 pelajar bagi program perkhemahan Permata Insan.
Beliau berkata, pemilihan pelajar itu akan dibuat secara online mulai 1 Mac depan dan pelajar yang berminat boleh melayari laman web www.permatapintar.edu.my.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan