HALAMAN SANTAI

Selasa, 23 Februari 2010

Hanya 16 pusat asuhan di Malaysia


Maznah Mazlan (dua kanan) melayani keletah kanak-kanak Taska Elektrisola yang turut dihadiri oleh Dr. Gunter Gruber (kiri), Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Mohd. Sabri Karmani, (dua dari kiri) dan Thilo J. Westerhausen di Janda Baik, Pahang, semalam.


BENTONG - Kewujudan pusat asuhan kanak-kanak di tempat kerja di seluruh negara semakin berkurangan apabila jumlahnya kini tinggal 16 buah berbanding 93 buah pada 1992.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan berkata, keadaan itu berlaku kerana sikap sesetengah majikan yang tidak serius menyediakan pusat asuhan untuk anak-anak pekerja mereka.

Katanya, bagi meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya menyediakan kemudahan itu, kerajaan akan memperkenalkan konsep 1Majikan 1PAKK (pusat asuhan kanak-kanak).

"Setiap pusat asuhan yang ditubuhkan akan diberikan insentif yang sesuai dan geran pembiayaan.

"Pekerja pula akan diberi pengurangan cukai pendapatan sebanyak dua kali ganda," katanya pada majlis ramah mesra bersama warga Taska Elektrisola di Janda Baik dekat sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja, Mohd. Sabri Karmani; Duta Jerman ke Malaysia, Dr. Gunter Gruber dan Pengarah Urusan Elektrisola (M) Sdn. Bhd., Thilo J. Westerhausen.

Menurut Maznah, kerajaan kini sedang berbincang dengan kesatuan majikan supaya penubuhan pusat asuhan kanak-kanak di tempat kerja dapat ditingkatkan semula.

"Saya melihat penubuhan pusat ini dapat menarik minat golongan wanita untuk bekerja.

"Ini kerana jika dibandingkan dengan negara luar, kita agak jauh ketinggalan dari segi penyertaan kaum wanita di sektor pekerjaan," jelasnya.

Tambahnya, kadar penyertaan wanita di luar negara yang memasuki sektor pekerjaan mencecah sehingga 70 peratus jika dibandingkan dengan Malaysia.

"Penyertaan golongan wanita yang rendah ini bukan kerana mereka tidak memasuki pasaran buruh tetapi mereka berhenti lebih awal untuk mengasuh anak masing-masing di rumah," ujarnya.

Tiada ulasan: