HALAMAN SANTAI

Selasa, 23 Februari 2010

Kenakan tindakan tegas gagal tuntut MyKad

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Kerajaan sepatutnya mengenakan hukuman yang tegas terhadap individu yang tidak menuntut MyKad, bukannya menghantar kad pengenalan tersebut ke rumah mereka.

Presiden Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk M. Marimuthu berkata, masyarakat sepatutnya lebih bertanggungjawab terhadap MyKad kerana ia merupakan dokumen yang paling penting untuk mereka.

"Sepatutnya pihak terlibat memberi surat amaran terakhir kepada mereka yang terlibat dan jika tidak dituntut juga, denda maksimum perlu dikenakan," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi hari ini.

Tambah beliau, rakyat seharusnya tahu tentang kepentingan MyKad kerana ia juga akan membezakan antara warganegara ataupun pendatang.

"Pendatang makin ramai sekarang, jadi masyarakat perlu lebih bertanggungjawab dan perlu faham saranan kerajaan yang bersungguh-sungguh mahukan setiap warganegara mempunyai MyKad," katanya.

Sementara itu Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu (PPPMM), Datuk Dr. Kamaruddin Kachar berkata, hukuman yang setimpal perlu diambil terhadap golongan yang tidak menuntut MyKad.

"Kita faham masalah yang dihadapi oleh pemohon, ada yang sukar untuk keluar ke bandar dan ada juga yang sibuk dan kesuntukan masa.

"Saya berharap para pemohon tersebut sedar tentang kepentingan MyKad, jadi perlu ada pengorbanan dalam diri setiap individu," katanya.

Semalam, Kementerian Dalam Negeri berjaya menyerahkan sebanyak 142,212 daripada keseluruhan 405,197 Kad Pengenalan Pintar (MyKad) yang masih belum dituntut oleh para pemiliknya dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini.

Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, usaha menggembleng tenaga agensi di bawah kementerian itu akan diperhebat supaya penyerahan baki sebanyak 262,985 MyKad lagi yang masih terperap di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), dapat dibuat.

Bagi Presiden Gabungan Palajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Karim pula, hukuman dan tindakan tegas adalah jalan terakhir setelah pelbagai cara dilakukan tidak berjaya.

"Pihak JPN perlu lebih profesional menangani masalah ini, kaedah mendidik perlu diketengahkan seperti memperbanyakkan lagi kempen kesedaran betapa pentingnya MyKad dalam kehidupan kita.

"Selain itu pihak terbabit juga boleh menggunakan teknologi yang canggih sekarang untuk mengesan individu yang masih tidak menuntut MyKad mereka," ujarnya.

Tiada ulasan: