HALAMAN SANTAI

Rabu, 28 April 2010

Apa ada kena mengena wanita Islam dengan 1Malaysia?

Oleh: Shirzad Lifeboat


Hujung Mac lalu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menyampaikan ucapan perasmian Konvensyen Wanita dan 1Malaysia di Kuala Lumpur. Dan ucaptamanya pula disampaikan oleh seorang wanita yang anda tentu boleh teka siapa.

Tema konvensyen ini ialah Memperkasakan Wanita Melalui 1Malaysia. Tanpa menyentuh kandungan kertas kerja dan bla bla bla yang dibentang dan diperkatakan dalam tiga sesi selari, golongan remaja, professional wanita dan pertubuhan masyarakat sivil, ia mengundang pertanyaan: perkasa bagaimanakah yang kita mahukan untuk para wanita kita. Apakah kita mahu wanita kita seperkasa Siti Muslihat atau Tun Fatimah?

Atau apakah keperkasaan seseorang wanita, sama ada dari fizikal, dari segi semangat dan dari segi keutuhan jiwa dan kebulatan tujuan dan pemikiran perlu mengambil bentuk Hendon yang telah merobek dada dan mengunyah hati Saidina Hamzah bin Abdul Muttalib kerana benci kepada Islam, kepada penyebaran agama Allah dan lebih rela hidup dalam keseronokan masyarakat jahiliyah. Mungkin banyak yang boleh mempersetujui sekiranya wanita kita mengambil contoh kekentalan semangat juang Siti Muslihat dan Tun Fatimah tetapi tentu sekali tidak dengan Hendon. Apabila kita membayangkan Hendon, kita tentu segera membayangkan medan pertempuran Uhud dan seorang wanita jahiliyah yang sedang mengunyah-ngunyah daging hati seorang syuhada Islam tetapi gagal menelannya.

Perang Uhud di zaman awal Islam sudah terlalu jauh ditinggalkan masa dan kini, di zaman yang dianggap oleh banyak ulama dan juga ramalan saintifik sebagai zaman penghujung dunia, kita terus bertempur dengan kuasa dan elemen kufur sebagai yang diperjuangkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. ketika hayat baginda.

Walaupun urusan baginda s.a.w. adalah urusan Allah dan urusan yang melangkau masa satu hayat, satu generasi malah urusan yang terus berkekalan lama setelah baginda s.a.w. wafat sehinggalah Hari Kiamat dan tanpa sebarang pejabat canggih, kelengkapan, bajet besar dan sebagainya dan tanpa adanya slogan 1Makkah atau 1Medinah dan yang ada cuma menyebarkan hakikat Allah Yang Sa, Nabi tidak pula mengenengah dan memberikan penekanan keterlaluan terhadap wanita dalam urusan kenegeraan dan penyebarannya.

Tidak ada kata-kata gimik untuk ‘memperkasakan’ wanita dalam perjuangannya kerana apa yang dilakukan oleh wanita di zaman baginda nyata adalah contoh paling agung dan tidak ada tolong bandingnya.

Khadijah r.a. yang kaya rasa akhirnya menjadi miskin harta kerana mengahwini Nabi Muhammad s.a.w. Ummul Mukminim, Ketua Wanita Islam sepanjang zaman Aisyah r.a. sanggup dikahwini Rasulullah s.a.w. tatkala dalam lingkungan usia kanak-kanak . Begitu juga isteri baginda yang lainnya yang sanggup hidup bermadu walaupun suami mereka tidak mampu mengadakan kemewahan serta peralatan rumah yang canggih tetapi tetap menghormati dan memberikan sokongan yang jitu terhadap perjuangan Islam.

Oleh itu apakah contoh yang ditunjukkan oleh mukminat Islam ini tidak cukup perkasa lagi untuk dijadikan sebagai role model, sebagai idola bahkan sebagai rujukan piawaian (standard reference) kepada semua perjuangan yang mana wanita turut dikehendaki terlibat sama.

Dalam ucapan perasmiannya Najib hanya bermegah dengan peratusan tinggi wanita (65 peratus) berbanding lelaki yang berdaftar sebagai pelajar universiti serta menyandang banyak jawatan penting dalam institusi utama seperti Perbendaharaan, Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti. Tak pasti sama ada hanya satu retorik atau sebaliknya, beliau juga mahukan wanita turut sama mengembeling tenaga bagi menjayakan model ekonomi baru yang dipeloporinya.

Bagi wanita yang menyampaikan ucap tama pula, dia menjelaskan peri penting 1,000 lebih peserta menyampaikan pandangan bagaimana wanita dapat diperkasakan menerusi konsep 1Malaysia. Justeru bagi Najib, wanita perlu menjadi sebahagian daripada tenaga yang bakal menjana ekonomi walaupun tugas tersebut. Apakah Najib seronok apabila masa depan ekonomi dan pasaran pekerjaan didominasi oleh wanita berbanding lelaki? Dan apakah sipengucap tama mahukan wanita menjadi begitu ‘perkasa’ sebagaimana perkasanya diri beliau sendiri?

Apakah kedua-dua konsep mengenai wanita yang dibawa oleh kedua-dua mereka ini menepati kehendak Islam? Apakah Islam mahu wanita memiliki dominasi di atas kaum lelaki? Dan apakah yang dibincangkan, dimegahkan oleh Najib dan penceramah ucap tama itu menepati kehendak ayat Quran: “Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh karena Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan karena mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka. Sebab itu maka wanita yang saleh, ialah yang ta’at kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada, oleh karena Allah telah memelihara (mereka)….” (An-Nisa:33)

Tidaklah jelas apakah Najib, isterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, dan UMNO yang bila orang bercakap tentang Islam pemimpinnya pun mahu juga bercakap tentang Islam menyedari akan maksud ayat ini dan mengambilnya secara serius?

Mungkin bagi Sisters In Islam yang pernah mengatakan tafsiran Quran adalah berat sebelah kerana rata-rata diusahakan oleh para ulama lelaki, ayat seperti ini adalah sesuatu yang bersifat seksisme.

Begitupun, apa sekalipun yang difahami oleh sesiapa sahaja mengenai wanita dalam Islam dan bagaimana konsep wanita dalam Islam hendak diputarbelitkan, keperkasaan dan kewanitaan wanita Islam sejati tetap tidak dapat lari dari segala sifat para isteri Nabi s.a.w. yang dikatakan itu serta beberapa orang wanita Islam misali yang lainnya.

Dan mereka tidak ada kena mengenai dengan model ekonomi, one sesuatu. Yang ada cuma One Allah, yang mana darinya segala peranan dan sebagainya menjurus kepada Kesatuan tersebut.

Tiada ulasan: