HALAMAN SANTAI

Khamis, 29 April 2010

Dua kali kena ISA kerana bela nasib peneroka Felda

Oleh Muda Mohd Noor

Suhaimi Said,65, sudah dua kali ditahan di bawah akta keselamatan dalam negeri (ISA) kerana memperjuangkan nasib peneroka Felda yang menurutnya tidak dibela dengan sewajarnya.

Kali pertama ialah pada tahun 1985 selama sembilan bulan dan kali kedua dalam operasi lalang pada 1987 selama tujuh bulan.

"Saya tidak disenangi oleh pengurusan Felda dan pemimpin Umno kerana perjuangan saya membela nasib peneroka. Mereka menuduh saya sebagai pemecah belah masyarakat Felda.

"Saya menentang ketidakadilan di mana peneroka tidak mendapat geran hak milik walaupun sudah menjelaskan semua hutang Felda," katanya ketika ditemui di Felda Sungai Tengi, Hulu Selangor baru-baru ini.

Suhaimi berasal dari Temerloh, Pahang tetapi sudah berjuang untuk masyarakat Felda di seluruh negara sejak tahun 1978 lagi.

Menurutnya, sehingga ini ada kira-kira 125,000 peneroka yang masih terikat dengan Felda dan mendapat elaun bulanan RM1,200 bagi setiap keluarga peneroka.

"Sistem begini tidak bagus kerana boleh menjadikan peneroka malas, Pendapatan sebanyak itu jauh lebih sedikit berbanding peneroka yang menyertai program tanam sendiri rata-rata memperolehi pendapatan bulanan sebanyak RM3,000.

"Elaun bulanan yang dibayar Felda itu boleh dianggap sebagai hutang kerana selepas enam tahun hutang mereka dengan Felda menjadi RM60,000.

"Felda juga menggalakkan peneroka supaya membuat pinjaman perumahan sebanyak RM40,000 dan ini menjadikan hutang mereka bertambah," katanya.

Ketika ditanya sehingga bila beliau akan terus berjuang untuk peneroka Felda, Suhaimi berkata, "saya akan terus berjuang sehingga hak-hak dan keadilan peneroka diperolehi."

"Anda tanya sampai bila? Bila Felda dan kerajaan hendak beri geran hak milik dan hapuskan hutang peneroka."

Tiada ulasan: