HALAMAN SANTAI

Khamis, 29 April 2010

Kerajaan negeri tetap bantu Cina Hulu Selangor – Khalid

20091002112614_khalid  ibrahim Oleh Staf FMT


SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengulangi ketetapan bahawa kerajaan negeri akan terus menyalurkan bantuan kepada masyarakat Cina di Hulu Selangor walaupun Pakatan Rakyat (PR) tewas dalam pilihan raya kecil (PRK) baru-baru ini.

Merujuk kepada kenyataan yang berbau perkauman dan bersifat hasutan terutama daripada Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) beliau berkata,

"Pemikiran cetek yang tersemat di dada para pengikut Perkasa adalah terpancar dari sifat perkauman bagi melahirkan perasaan tidak puas hati berikutan sokongan yang semakin merosot terhadap Barisan Nasional (BN)."

Khalid berkata, "kerajaan negeri akan tetap memberi peruntukan dan bantuan berbentuk projek-projek pembangunan kepada masyarakat Cina di Hulu Selangor walau dihasut oleh golongan tertentu supaya menghentikan bantuan.

"Kerajaan Selangor dan PR katanya, tidak pernah dan tidak akan mewujudkan jurang di antara kaum Melayu mahupun kaum-kaum lain dan sentiasa akan berlaku adil terhadap semua pihak," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat exco mingguan di sini semalam.

Beliau berkata, "Perkasa adalah sebuah pertubuhan yang tidak releven kerana mengamalkan dasar perkauman yang akan memusnahkan hubungan di antara kaum."

Khalid berkata, pengundi Cina di Hulu Selangor terus menunjukkan sokongan positif kepada PR hingga meningkatkan jumlah undi kepada 78% pada PRK Hulu Selangor.

"Ada pihak yang dengki dengan sokongan yang diberikan kaum Cina kepada PR dan mereka (Perkasa) kononnya mempunyai kuasa menghasut kerajaan pusat agar tidak memberikan hak dan bantuan semata-mata ingin memberi tekanan kepada pengundi Cina," jelasnya.

Sementara itu, dalam satu kenyataannya semalam, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menyelar Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali kerana mengeluarkan kenyataan yang didakwa berunsur "perkauman tebal" hingga menyinggung perasaan kaum Cina.

"Tindakan Perkasa menggesa kerajaan menangguhkan peruntukan dan projek kepada masyarakat Cina amat dikesali. Kenyataan Perkasa itu berunsur hasutan," ujar beliau.

Soi Lek juga berkata jika BN mahu mendapatkan lebih banyak sokongan daripada pengundi bukan Melayu, ia perlu terlebih dahulu menjauhkan diri dengan pertubuhan seperti Perkasa yang cenderung meluahkan kenyataan berunsur perkauman.

Ibrahim dalam kenyataannya kelmarin meminta kerajaan pusat menghentikan bantuan kepada masyarakat Cina yang tidak menghargai jasa kerajaan pusat.

Beliau membuat kenyataan itu selepas keputusan PRK bagi parlimen Hulu Selangor Ahad lalu membuktikan sokongan kaum Cina kepada BN semakin merosot.

Tiada ulasan: