HALAMAN SANTAI

Jumaat, 30 April 2010

Kartika ikuti kelas agama di Kedah cari ketenangan, kata bapa

Oleh Lee Suet Ling


KUALA LUMPUR — Bekas model sambilan Kartika Shukarnor (gambar), yang selesai menjalani hukuman khidmat sosial di Kuantan minggu lalu, kini mengikuti pengajian agama untuk mencari ketenangan, kata bapanya.

Ibu kepada dua anak ini dikatakan sedang mengikuti program agama di Kedah.

Bapa Kartika, Shukarnor Abdul Mutalib ketika mengesahkan perkara itu kepada The Malaysian Insider berkata, anaknya masih berada di negeri itu dan belum pulang untuk menemui anaknya.

Difahamkan Kartika telah pergi ke Kedah sebaik sahaja pulang dari Kuantan.

“Kartika ada telefon saya, dia kata tak nak balik dulu, nak sambung belajar agama selepas apa yang telah menimpa dirinya.

“Ada seorang profesor universiti yang ajaknya pergi belajar agama bersama setelah melihat Kartika begitu tertekan dengan situasi yang dialami,” kata beliau ketika dihubungi.

“Saya tidak pasti Kartika belajar kat mana sekarang, tapi rasa-rasanya dekat Kedah.

“Dia tidak beritahu saya dengan terperinci, cuma menyatakan nak sambung belajar. Benda-benda lain diketepikan dulu”, katanya lagi.

Kartika selesai menjalani hukuman khidmat masyarakat di Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Fatimah, Kuantan selama tiga minggu pada 22 April lalu.

Kartika, 33, sebelum ini terlepas daripada hukuman sebat selepas Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah berkenan meringankan hukuman itu.

Ibu tunggal yang mempunyai dua anak itu dijatuhkan hukuman enam sebatan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 18 Julai 2009 selepas didapati bersalah meminum arak di sebuah resort di Cherating, Pahang.

Tiada ulasan: