HALAMAN SANTAI

Rabu, 28 April 2010

Remaja mati ditembak polis bukan kes terpencil

Dzulfikar Mashoor

SHAH ALAM: Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo berkata, insiden seorang remaja, Aminulrasyid Amzah, 15, mati ditembak anggota polis bukan lagi kes terpencil sepanjang polis melaksanakan tanggungjawab memelihara keselamatan orang awam dan tanah air.

"Ini sebegini kita lihat kerap kali berlaku di mana pihak polis menggunakan senjata api tembak orang awam," jelas beliau ketika ditemui di tempat kejadian, selekoh Jalan Makyong, Seksyen 11/2G, di sini, tengah hari ini.

“Sebagai Ahli Parlimen, telah saya katakan tadi isu ini bukan lagi isu terpencil kerana polis sebelum ini beberapa kali terbabit menembak orang awam."

Menurut Gobind, sekiranya polis mahu menganggap kes Aminul tersebut sebagai kes terpencil, polis masih belum ada jawapan untuk rakyat untuk kes tembakan liar ke atas Norizan Salleh, Oktober lalu serta beberapa kematian misteri orang awam di dalam lokap.

Sebaliknya, beliau yang juga pengamal undang-undang sivil meminta polis menjelaskan motif di sebalik tembakan lebih tujuh das ke arah arwah dan saksi utama.

"Dalam faham undang-undang yang saya amalkan, tujuan (polis) menggunakan senjata api itu bukan untuk membawa maut, tujuannya adalah untuk menghalang penjenayah mengancam nyawa orang awam atau mempertahan diri mereka saja," tegas beliau.

Tanpa menafikan sumbangan besar polis dalam memelihara keamanan negara, beliau berkata, pegawai polis terbabit sepatutnya menembak pada bahagian badan yang berisiko rendah untuk seseorang kehilangan jiwa.

"Kebiasaannya kalau mereka (polis) perlu tembak sekalipun, mereka perlu tembak pada bahagian tubuh yang mustahil boleh membawa risiko maut, misalnya, menembak bahagian kaki supaya suspek tidak mampu melarikan diri," jelas beliau lagi.

Bagaimana pun, beliau seakan memuji Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar kerana bertindak secara wajar ke atas keempat-empat anggota polis terbabit apabila mendapat tahu insiden tersebut.

"Saya rasa itu keputusan bijak, saya sokong, saya berterima kasih kerana polis mengambil keputusan sedemikian yang begitu penting," ujarnya.

Demi mengelakkan wujudnya unsur bias dalam siasatan kes tersebut, beliau turut mencadangkan supaya keempat-empat suspek terbabit digantung tugas sehingga siasatan selesai.

Beliau turut mencadangkan pegawai tertinggi polis dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sendiri turun menyiasat keempat-empat suspek pembunuh dari Balai Polis Seksyen 11, di sini.

"Apa yang perlu dibuat, seorang dari ibu pejabat Bukit Aman diturunkan untuk menyiasat kes ini," ujarnya lagi.

Menganggap insiden tersebut sebagai bukti wujudnya amalan brutal di kalangan anggota polis, beliau bertekad untuk bertanya sendiri kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein tentang garis panduan yang digunakan polis dalam menggunakan senjata api.

"Memang saya akan bangkitkan kes ini dalam Dewan Rakyat depan, saya nak tanya Kementerian Dalam Negeri (KDN) tentang garis panduan yang digunakan oleh polis untuk memelihara keharmonian hidup rakyat.

"Saya juga nak tahu kalau seorang polis memegang senjata, adakah orang awam seperti saya layak ditembak sehingga mati, inilah isunya yang rakyat sedang tanya," jelasnya.

Tidak cukup dengan itu, beliau turut bercadang bersemuka sendiri dengan Khalid untuk mendapat maklumat lanjut berkaitan keempat-empat suspek serta saksi utama kes tersebut.

"Saya secara peribadi akan menghubungi Datuk Khalid (Ketua Polis) untuk mengenal pasti saksi. Saksi kemudiannya saya nak bawa ke balai untuk diambil keterangan agar siasatan dilengkapkan sebelum dibawa ke muka pengadilan," ujarnya lagi.

Gobind turut meminta institusi Polis Diraja Malaysia (PDRM) sendiri disiasat secara total ekoran beberapa kes pembunuhan orang awam yang membabitkan anggotanya selain mendesak polis supaya menyegerakan siasatan khas ke atas kes tersebut

"Saya berasa siasatan yang perlu dijalankan tidak terhenti pada menyiasat suspek-suspek polis yang menembak mangsa (Aminulrasyid) saja. Perlu disiasat secara menyeluruh ke atas Polis Diraja Malaysia sendiri," jelasnya.

Tiada ulasan: