SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor akan mengambil alih tanah yang dianugerah kepada pemilik yang gagal bagi memastikan semua tanah dapat dibangun dengan selarasnya.
Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, tindakan diambil selepas kerajaan negeri mendapati kebanyakan tanah anugerah bukan sahaja tidak dijelaskan cukai tanah tetapi dibiarkan terbengkalai sahaja tanpa sebarang pembangunan.
Menurutnya, keadaan seperti ini haruslah dielakkan kerana boleh menyebabkan kerugian pada kerajaan negeri termasuklah penduduk di negeri Selangor sendiri.
"Semua pemilik tanah yang dianugerahkan dari kerajaan negeri akan diminta memberi penjelasan berhubung kegagalan mereka membangunkan tanah dan juga tidak membayar cukai tanah lebih dari lima tahun.
"Jika gagal memberi penjelasan, kerajaan negeri akan terpaksa mengambil alih tanah tersebut dan akan mewujudkan pelan bagimembangunkan semula tanah tersebut," katanya.
Khalid berkata, walaupun ada pemilik tanah yang ingin membayar tunggakan sejak lima tahun itu, kerajaan negeri tidak akan menerima bayaran tersebut sebelum menerima penjelasan sepenuhnya dari pemilik berkenaan.
Tambah beliau, kerajaan negeri selangor mengamalkan ketulusan dan kebertanggungjawaban dan memberi jaminan bahawa segala penjelasan oleh pemilik tanah akan dinilaikan dan dipertimbangkan sebelum mengambil sebarang tindakan.
"Tanah yang ada pada pemilik adalah tanah yang amat berharga dan amatlah merugikan jika pemilik gagal melaksanakan apa-apa perubahan berhubung tanah yang dianugerahkan.
"Kerajaan negeri memain peranan memastikan urus tadbir tanah tersebut di lakukan dengan baik dan cekap agar tidak terbengkalai kemudian hari kelak," jelasnya.
Beliau berkata, pentadbiran kerajaan negeri terdahulu gemar menganugerahkan beribu-ribu ekar tanah yang bernilai jutaan ringgit kepada syarikat-syarikat kroni masing-masing tetapi gagal membangunkan tanah tersebut akibat ketamakan hingga gagal membayar cukai tanah.
"Pemilik yang memiliki tanah jelas menunjukkan bahawa sumbangan yang diberikan oleh kerajaan negeri tidak dimanfaatkan.
"Saya akan memantau secara berterusan agar para pemilik tanah tersebut dapat menghargai sumbangan yang diberikan menjadikan tanah tersebut berguna nanti.
Khalid turut berkata, tanah yang tidak dibangunkan dan dibiarkan bertahun lamanya itu sepatutnya di bangunkan agar dapat membantu memberi keuntungan kepada kerajaan negeri demi kesejahteraan rakyat dan ekonomi negeri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan