HALAMAN SANTAI

Rabu, 28 April 2010

Malaysia status negara tua 2035

KUANTAN - Malaysia bakal mencapai status negara tua menjelang 2035 ekoran peratusan warga emas yang berumur 60 tahun mencapai kadar 15 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduknya.

Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, Datuk Meme Zainal Rashid berkata, peratusan bilangan warga emas di negara ini semakin meningkat berdasarkan banci penduduk pada 2000 iaitu seramai 1.45 juta orang atau 6.2 peratus.

''Jumlah tersebut terus melonjak selepas sembilan tahun menjadi seramai dua juta atau 7.1 peratus daripada jumlah penduduk iaitu seramai 28.3 juta orang.

''Statistik tersebut amat membimbangkan ekoran penurunan kadar kesuburan dan peningkatan jangka hayat penduduk seperti yang direkodkan pada 2005 iaitu 71 tahun bagi lelaki dan 76 tahun bagi wanita," katanya dalam ucapan perasmian sempena Seminar Kebangsaan Ketiga di sini hari ini.

Teks ucapan perasmian seminar bertajuk Kasih Sayang Antara Generasi Membanteras Penganiayaan Sesama Insan dibaca oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Halijah Yahaya.

Menurut Meme, fenomena golongan muda berkerjaya pada masa ini yang tidak mahu berkahwin, amat membimbangkan kerana ia menyebabkan kadar kelahiran adalah rendah.

''Faktor kahwin lambat atau tidak berkahwin menyebabkan peratusan kadar kelahiran kurang berbanding peratusan kematian.

''Ini kerana, golongan warga emas mempunyai keperluan tersendiri sehingga menimbulkan pelbagai implikasi kepada keluarga, masyarakat dan negara," jelasnya.

Misalnya, jelas beliau, Jepun kini mencapai status negara tua apabila peratusan warga emas semakin meningkat manakala rekod kelahiran adalah rendah.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan serius dalam menangani kadar penuaan yang semakin meningkat dan bersedia menghadapi cabaran tersebut.

''Semua pihak sama ada kerajaan atau swasta perlu memberi ruang dan peluang kepada golongan warga emas untuk menyumbang kepada masyarakat sesuai dengan keupayaan dan minat mereka.

''Mereka seharusnya diberi ruang dan peluang supaya kemahiran dan kepakaran yang dimiliki diperturunkan kepada generasi muda," ujarnya.

Tiada ulasan: