HALAMAN SANTAI

Jumaat, 30 April 2010

Pesalah Lalulintas Paling Banyak Tawar Rasuah: SPRM

BERNAMA

PUTRAJAYA: Bagi tempoh Januari lepas sehingga hari ini, pesalah lalu lintas adalah paling banyak ditangkap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana memberi suapan.

Pengarah Siasatan SPRM, Mustafar Ali berkata, golongan itu merekodkan 21 kes daripada 64 tangkapan yang dibuat suruhanjaya di seluruh negara bagi tempoh tersebut.

Golongan kedua tertinggi ialah pendatang asing sebanyak 19 kes membabitkan permit kerja, diiikuti pihak yang cuba menutup kes jenayah yang dilakukan sebanyak tujuh kes, katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata, lain-lain kesalahan ialah berkaitan penyitaan kenderaan (6 kes), lesen perniagaan (3), dadah (3), pembalakan haram (2) dan masing-masing satu kes untuk mempercepatkan urusan dan mencuri elektrik.

Kesemua kes suapan itu membabitkan nilai keseluruhan RM200,000 dengan nilai tertinggi RM35,000, kata Mustafar.

Beliau berkata, tujuh kes telah dibawa ke mahkamah mengikut akta suruhanjaya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Sutinah Sutan yang turut hadir berkata, suruhanjaya akan bekerjasama dengan Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Huazong) untuk mengadakan majlis penerangan bagi masyarakat Tionghua di negara ini.

Langkah itu diambil memandangkan masih ramai daripada kalangan kaum Cina yang tidak memahami fungsi SPRM, katanya.

Sesi penerangan pertama akan diadakan di Dewan Perniagaan Cina Kuala Lumpur/Selangor pada 5 Mei ini dan ianya akan diperluaskan ke negeri-negeri, kata beliau.

Tiada ulasan: