HALAMAN SANTAI

Rabu, 28 April 2010

Pilihan Raya Kecil Undi rosak = undi protes?

Oleh Amin Iskandar


Barisan Nasional (BN) telah berjaya merampas kerusi parlimen Hulu Selangor (P 94) apabila calonnya, P. Kamalanathan berjaya menewaskan calon “heavyweight” Pakatan Rakyat (PR), Datuk Zaid Ibrahim dengan majoriti 1,725 undi dalam pilihanraya kecil (PRK) pada 25 April lalu.

Secara keseluruhannya, calon BN tersebut mendapat 24,997 undi berbanding dengan calon PR yang mendapat 23,272 undi. Daripada 64,500 pengundi yang mendaftar, hanya 48,935 orang yang keluar mengundi menjadikan peratusan keluar mengundi sebanyak 75.8 peratus.

Apakah sebab dan faktor yang menyebabkan lagi 24.2 peratus atau 16,465 pengundi tidak keluar mengundi masih belum diketahui walaupun kedua-dua BN dan PR berkempen secara intensif di Hulu Selangor selepas hari penamaan calon.

Walaubagaimanapun, peratusan keluar mengundi tetap meningkat berbanding dengan PRU 12 yang lalu. Pada PRU 12 lalu, peratusan keluar mengundi adalah sebanyak 75.24 peratus. Ertinya, peningkatan peratusan keluar mengundi ialah sebanyak 0.56 peratus.

Undi rosak

Undi rosak dalam PRK Hulu Selangor kali ini menurun berbanding dengan undi rosak pada PRU 12 lalu. Jika pada PRU 12 lalu undi rosak di kerusi P 94 adalah sebanyak 1,466 undi, pada PRK kali ini bilangan undi rosak telah menurun kepada 731 undi.

Walaupun berlaku penurunan undi rosak dalam PRK kali ini, angka 731 undi bukanlah satu angka yang kecil. Kesilapan dalam mengundi biasa terjadi. Akan tetapi jika angka undi rosak telah mencapai ke angka 731, pelbagai andaian boleh dilakukan.

Jika kesilapan mengundi dijadikan sebab berlakunya sesuatu undi rosak itu contohnya seperti memangkah lebih dari satu calon dalam kertas undi oleh kerana tidak tahu tindakan tersebut boleh merosakkan undi, ertinya, 731 orang pengundi yang rosak undinya tidak mempunyai pengetahuan yang cukup sebagai pengundi sebelum mereka membuang undi pada 25 April lalu.

Adalah menjadi tanggungjawab Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk memastikan kesemua pengundi yang berdaftar tahu tentang kaedah dan cara untuk mengundi didalam sesuatu pilihanraya.

Jika 731 orang yang rosak undinya pada PRK lalu disebabkan oleh kerana kesalahan semasa memangkah undi, SPR perlu kaji dan membuat penilaian semula tentang mengapa sebegitu ramai orang masih belum faham mengenai kaedah pembuangan undi.

Kebiasaannya, jumlah undi rosak yang besar seringkali dikaitkan dengan undi protes. Banyak faktor yang menyebabkan pengundi di sesuatu kawasan itu melakukan tindakan protes.

Boleh jadi pengundi di sesuatu kawasan itu merasakan kedua-dua calon yang menawarkan diri untuk bertanding tidak memenuhi citarasa mereka. Boleh jadi juga, penyokong sesuatu parti itu tidak suka dengan calon yang diletakkan oleh parti mereka.

Ada juga pengundi yang memberikan undi protes oleh kerana mereka merasakan bahawa sesuatu pilihanraya itu tidak akan mengubah nasib mereka. Terlalu banyak kebarangkalian tentang mengapa undi protes berlaku.

Hak untuk tidak memilih mana-mana calon

Pada tahun 2005, saya berkesempatan untuk menjadi salah seorang pemantau antarabangsa dalam pilihanraya umum di Thailand. Banyak yang boleh dipelajari dari Thailand yang mempunyai sistem pilihanraya yang lebih maju dari Malaysia.

Apa yang menariknya, selain daripada mempunyai Suruhanjaya Pilihanraya yang mempunyai kuasa yang kuat, rakyat Thailand juga diberikan hak untuk tidak mengundi mana-mana calon yang dipertandingkan.

Bagaimana ianya dilakukan?

Didalam kertas undi di Thailand, selain daripada ruangan untuk mengundi calon-calon yang dipertandingkan, disediakan juga sebuah ruangan bagi pengundi yang memangkah untuk tidak memilih mana-mana calon.

Ertinya, pengundi di Thailand boleh menolak kesemua calon yang bertanding tanpa perlu merosakkan undi mereka. Secara rasminya juga keputusan seseorang pengundi itu untuk memprotes dengan tidak mengundi kesemua calon yang bertanding akan turut dikira sama seperti undi yang diterima oleh kesemua calon-calon.

Jika berlakunya keadaan dimana undi untuk tidak memilih mana-mana calon berada dalam jumlah yang tinggi, calon-calon dan parti-parti yang bertanding boleh menilai semula tentang apakah kesalahan dan kesilapan mereka sehinggakan pengundi memilih untuk tidak mengundi mana-mana pihak.

Dengan ini peratusan undi rosak dapat dikurangkan dan Suruhanjaya Pilihanraya terselamat daripada tuduhan tidak memberikan pendidikan pengundi yang mencukupi.

Selain daripada Thailand, negara seperti Bangladesh turut mempunyai sistem yang sama dimana pengundi mempunyai platform yang rasmi untuk melakukan undi protes dan tidak memilih mana-mana calon.

Tidak salah untuk mempelajari sesuatu yang baik daripada negara jiran.

Jika suatu hari nanti proses reformasi pilihanraya dapat dilaksanakan di Malaysia, mungkin perkara ini bolehlah turut sama diambil kira. Sekurang-kurangnya, suara pengundi yang tidak suka dengan calon-calon yang bertanding atau yang ingin memprotes undi akan turut didengar secara rasmi.

Tidaklah selama-lamanya undi mereka itu hanyalah berada di status undi rosak.M/I

Tiada ulasan: