HALAMAN SANTAI

Jumaat, 30 April 2010

Pentas Pakatan: Tamrin sedia hadapi tindakan Umno

Dzulfikar Mashor


KUALA LUMPUR: Anak bekas Timbalan Perdana Menteri, Tamrin Tun Ghafar (gambar) bersedia menerima sebarang tindakan daripada Umno ekoran tindakannya berada di pentas Pakatan Rakyat sewaktu kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor, baru-baru ini.

Beliau ketika ditemual semalam menjelaskan, kehadirannya di dua program Pakatan Rakyat itu semata-mata untuk mendengar nasihat Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang beliau anggap sebagai tokoh sejak menjadi Exco Pemuda Umno Malaysia lagi.

Manakala keputusan duduk sepentas dengan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula, katanya sekadar memenuhi pelawaan seorang sahabat lama.

Mengulas kenyataan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim (kiri) yang mendakwa beliau tidak mirip ayahnya dan pernah keluar Umno pula, beliau berkata, Rais sebenarnya 'bapa hipokrit'.

Selama bersama Umno, beliau menjelaskan tidak pernah menyerang kepemimpinan parti itu, dan tidak seperti Rais.

"Pada saya, Rais ini ialah 'bapa terbesar hipokrit', yang sebenarnya, saya tak pernah pun keluar dari Umno macam Rais Yatim," tegas beliau.

Rais ketika menyertai Semangat 46 dahulu katanya, nyata mengkritik kepemimpinan tertinggi Umno khususnya Tun Dr. Mahathir Mohammad.

"Tak ada ada dalam sejarah, saya membakar jambatan pertalian dengan Umno, tetapi Rais masa Semangat 46 dulu serang kepemimpinan Umno hingga bakar jambatan," ujarnya lagi.

Ekoran itu beliau berkata, keputusan Rais berbaik-baik semula dengan Umno apabila pemimpin Semangat 46 kembali menyertai Umno disifatkan seperti menjilat kembali tangan Mahathir.

"Akhirnya beliau sendiri menjilat semula tangan Mahathir kerana nakkan jawatan," katanya.

Tiada ulasan: