HALAMAN SANTAI

Selasa, 27 April 2010

Tenom:Guru KAFA ditahan miliki 17 peket dadah

TENOM - Polis menahan seorang guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) kerana memiliki dadah jenis syabu di kilometer 1 jalan Tenom-Keningau dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Tenom, Deputi Supritendan Mazlan Lazim berkata, suspek yang berusia 34 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis pada pukul 10 pagi hasil maklumat orang awam.

"Polis yang sudah lama memerhatikan gerak geri suspek menahan suspek dan rakan wanitanya di hadapan sebuah stesen minyak di sini semalam.

"Hasil pemeriksaan, polis menemui 17 paket dadah jenis syabu seberat 0.6 gram, tiga buah telefon bimbit dan wang tunai bernilai RM1,285," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurutnya, suspek yang mengajar di sebuah sekolah di daerah ini ditahan reman selama empat hari mulai kelmarin untuk siasatan lanjut.

Katanya, melalui ujian air kencing yang dijalankan, suspek turut disahkan positif dadah.

Dalam pada itu Mazlan berkata, beliau amat kesal kerana kes dadah tersebut membabitkan seorang guru agama yang sepatutnya memberi tunjuk ajar yang baik.

"Penangkapan kes membabitkan dadah jenis syabu ini adalah yang pertama di daerah ini pada tahun ini.

"Jadi kita akan terus mempergiatkan usaha dan intipan dari masa ke semasa bagi menahan pesalah terbabit dalam membendung penyalahgunaan dadah di daerah ini," katanya.

Sementara itu beliau berharap orang ramai dapat memberikan kerjasama dengan memberi maklumat kepada pihak polis bagi mengatasi penyalahgunaan najis dadah.

Tiada ulasan: