KUALA LUMPUR : Melalui program Setinggan Sifar, Kerajaan Barisan Nasional(BN) semasa memerintah Selangor telah menempatkan penduduk yang tinggal di atas tanah kerajaan atau rizab kerajaan di rumah transit dengan kadar sewanya dibayar oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sehingga rumah mereka siap dibina.
Malangnya setelah janji ditaburkan terdapat rumah kekal atau penempatan semula ini yang gagal dibina mengikut jadual yang ditetapkan sehingga PBT terpaksa menanggung bayaran sewa yang lebih lama dari yang sepatutnya. "Lebih malang lagi tidak ada perjanjian yang ditandatangani yang membolehkan PBT membuat tuntutan ke atas pemaju yang gagal menyiapkan penempatan semula ini mengukut jadual," kata Exco Perumahan, Pengurusan Banggunan dan Setinggan, Iskandar A. Samad dalam kenyataan medianya.
Iskandar berkata, kerajaan negeri ketika ini tidak boleh mengarahkan PBT menghentikan bayaran sewa kerana perjanjian telah dibuat bersama penduduk walaupun ianya dilaksanakan di zaman kerajaan BN yang lepas. Menurut beliau, kerajaan negeri menyedari hakikat ini maka mesyuarat Exco pada 11 Februari 2009 telah memutuskan menjadi tanggungjawab PBT untuk memastikan penempatan-penempatan semula ini disiapkan menurut jadual. Sementara itu, sewa rumah-rumah transit akan terus ditanggung oleh PBT.
Kerajaan negeri juga mahu PBT lebih serius di dalam memastikan penempatan-penempatan semula ini disiapkan secepat mungkin agar mereka terlepas dari tanggungan sewa tersebut.
Bagi beliau, dalam kes Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), sepatutnya PBT itu memberi penumpuan kepada usaha-usaha untuk menyiapkan penempatan-penempatan semula dan bukan memberi keutamaan kepada pemberhentian sewa.
"Menghentikan pembayaran sewa hanya menyelesaikan separuh dari masalah.
"Oleh itu, saya telah mengarahkan Yang Dipertua MPAJ mengemukakan kepada mesyuarat Exco satu cadangan penyelesaian bagi masalah ini," jelas beliau lagi.
Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor atau PKNS juga kata Iskandar telah bersetuju untuk mengkaji cadangan untuk mengambilalih sebuah projek penempatan semula yang bermasalah di kawasan MPAJ.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan