HALAMAN SANTAI

Khamis, 29 April 2010

Orang Asli perlu berani buat perubahan

Hashim Abdullah


TEMERLOH: Masyarakat Orang Asli tidak perlu takut untuk melakukan perubahan politik bagi membaiki taraf kehidupan yang lebih baik sebagaimana dinikmati orang lain, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Semantan, Syed Hamid Syed Mohamed.

Berucap pada program ramah mesra bersama penduduk di perkampungan Orang Asli Kampung Paya Badak dekat sini, beliau yang juga Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Temerloh berkata, masyarakat Orang Asli terutama golongan muda telah ramai yang berani dan membuat perubahan bijak dengan menyertai parti politik daripada Pakatan Rakyat (PR).

“Kita tahu telah ramai golongan muda masyarakat Orang Asli yang bijak pandai dan berani membuat perubahan politik dengan menyertai PR kerana sedar kegagalan Umno/BN membela nasib masyarakat mereka.

“Sebab itu kita mahu masyarakat Orang Asli di sini membuat perubahan seiring dengan bangsa lain untuk kebaikan bersama. Masyarakat Orang Asli boleh masuk PAS atau Dewan Himpunan Penyokong PAS, kita amat mengalu-alukan,” katanya.

Turut hadir pada program tersebut Pengerusi Dewan Himpunan Kelab Penyokong PAS Pahang, N Balasubramaniam dan Pengarah Dun Kuala Semantan, Zubir Omar.

Pada majlis tersebut, Syed Hamid menyampaikan sedikit sumbangan untuk masyarakat Orang Asli setempat.

Tiada ulasan: