HALAMAN SANTAI

Selasa, 27 April 2010

Benjy ditangkap semula untuk tutup kelemahan polis, kata peguam

BERNAMA

KUALA LUMPUR — Penangkapan semula pelakon Khaireyll Benjamin Ibrahim, yang lebih dikenali sebagai Benjy, dan tindakan menahannya mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985, dibuat bagi menyelamatkan imej polis kerana gagal mengenakan tuduhan mengedar dadah terhadapnya, kata seorang peguam kepada Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Amer Hamzah Arshad, yang mewakili Benjy, berkata pegawai yang membuat tangkapan semula itu, Insp Nur Hazurah Ab Talib, mengaku dalam afidavitnya bahawa tidak terdapat bukti bagi mengenakan pertuduhan mengedar dadah terhadap pelakon berkenaan.

“Jadi, apa yang berlaku selepas itu ialah polis menggunakan peruntukan di bawah Langkah-langkah Pencegahan Khas, walaupun hakikatnya tidak ada bukti untuk mengenakan pertuduhan terhadap pemohon dan dia juga tidak pernah dianggap menjadi ancaman terhadap ketenteraman awam,” kata Amer Hamzah dalam permohonan writ habeas bagi mendapatkan pembebasan segera Benjy.

Benjy, anak pelakon veteran Azean Irdawaty, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan memiliki 0.24gm methamphetamine di rumah beralamat A-6-5 Menara Duta 2, Jalan 1/38B, off Jalan Segambut di sini pada pukul 4 petang, 11 Mac 2010.

Sejurus selepas membayar wang ikat jamin, dia ditangkap semula kerana didakwa terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah.

Dalam permohonan yang difailkan pada 8 April, Benjy menamakan Ketua Polis Negara, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden serta memohon perintah agar dia tidak ditangkap semula setelah dibebaskan.

Dia juga memohon mendapatkan perisytiharan bahawa penangkapan dan penahanannya mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) adalah salah, tidak sah dan terbatal serta berniat buruk.

Amer Hamzah berkata akhbar The Star, dalam laporannya bertarikh 27 Mac, memetik Menteri Dalam Negeri sebagai berkata bahawa Benjy ditangkap semula kerana polis memerlukan bantuannya dalam penyiasatan berhubung dadah sintetik.

Katanya adalah menjadi kelaziman di sisi undang-undang bahawa seseorang yang dikehendaki membantu polis dalam penyiasatan, tidak boleh ditangkap.

Amer Hamzah berkata ketika Benjy berada dalam tahanan, polis mengadakan sidang akhbar untuk memberi maklumat tertentu berhubung penahanannya, sedangkan tidak terdapat peruntukan undang-undang yang membenarkan perkara itu kerana siasatan berkenaan dianggap sulit.

“Satu-satunya kesimpulan lojik yang boleh dibuat ialah sidang akhbar itu dan pendedahan maklumat berkenaan bertujuan untuk mengaibkan Benjy dan untuk cuba menutup ketidakcekapan mereka kerana tidak berupaya mengenakan pertuduhan terhadap Benjy mengedar dadah,” katanya.

Amer Hamzah juga merujuk kepada perisytiharan berkanun Afifi Hamidi, yang ditangkap bersama Benjy, bahawa seorang pegawai polis telah mengugut dan memaksanya supaya mengaitkan Benjy.

Peguam itu berkata Benjy tidak boleh ditangkap semula bagi tujuan mewujudkan kes terhadapnya dengan tujuan mendapatkan bukti supaya Menteri Dalam Negeri mengeluarkan perintah menahannya mengikut Seksyen 6(1) Langkah-langkah Pencegahan Khas.

Kata beliau adalah jelas bahawa polis tidak mempunyai sebab untuk mempercayai Benjy terlibat dalam sebarang kegiatan pengedaran dadah yang boleh memudaratkan ketenteraman awam dan oleh itu mahkamah tidak ada pilihan selain membenarkan permohonan Benjy agar dia segera dibebaskan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak bersambung esok.

Tiada ulasan: