|
|
PANAS terik membakar wajah tatkala penulis menyusuri Jalan Hang Tuah menuju ke pintu utama Penjara Pudu. Hampir setiap orang yang melintas pintu tersebut berhenti seketika. Ada yang merenung jauh pintu gerbang penjara yang telah mencatatkan seribu satu macam sejarah dan cerita tersendiri itu.
Tidak kurang juga yang mengambil peluang bergambar di hadapan pintu utama yang tertera tarikh 1895. Ada juga yang cuba mengintai lubang kecil pada pintu itu. Ingin mengetahui apa dan bagaimana keadaan sebenar di dalam Penjara Pudu setelah banduan-banduan dipindahkan ke Penjara Sungai Buloh pada pukul 9.05 pagi 1 November 1996.
Beberapa orang berhenti menatap sebahagian daripada mural yang pernah mengisi rekod dunia sebagai yang terpanjang iaitu sepanjang 384 meter dan tinggi 4.5 meter. Warna-warna lukisan semakin kelam, malah ada di antaranya ditelan batu akibat cat yang meluntur dan tidak mampu menahan panahan matahari serta hujan.
Tarikan orang ramai terhadap Penjara Pudu adalah rentetan daripada liputan meluas keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merobohkan tembok sepanjang 300 meter di Jalan Pudu.
Sebelum itu, orang ramai yang lalu lalang di kawasan itu seolah-olah tidak peduli akan suara dan rintihan bangunan yang ditinggalkan tanpa perhatian. Tiada siapa berminat. Laluan monorel yang membuka pemandangan penjara tersebut dari bahagian atas sesekali mengajak mata singgah tanpa sebarang perasaan. Begitu juga di laluan pejalan kaki dari Jalan Hang Tuah ke Jalan Bukit Bintang, orang ramai yang bertali arus tidak peduli jauh sekali mahu peka terhadap Penjara Pudu. Ada pun yang berminat hanyalah pelancong asing.
Tarikan semula mengenai Penjara Pudu hanya selepas tarikh tembok bahagian tepi mengadap Jalan Pudu itu disebarluaskan. Bangunan berbentuk X (mengambil ilham Penjara Kindy Bogambia) jika ditinjau dari atas itu terbiar kosong sejak 14 tahun lalu. Keadaan itu sememangnya mengundang tanda tanya apa agaknya sudah jadi pada kawasan seluas 10 hektar itu. Tanpa penghuni jauh sekali menerima kunjungan sesiapa, bekas penempatan banduan pelbagai salah laku termasuk bilik menjalani hukuman terakhir itu sememangnya sepi.
Pernah dibuka sekali kepada orang ramai selepas enam bulan penjara itu dikosongkan. Hampir kesemua rahsia yang sebelum itu terlindung di sebalik tembok penjara yang mula dibina pada Februari 1891 dan siap sepenuhnya setahun kemudian itu dikongsi kepada umum.
Lebih daripada RM1.7 juta dibelanja bagi mengubah penjara itu untuk menjadi tarikan pelancong. Sebahagian besar perbelanjaan adalah untuk membina bilik pameran koleksi memorabilia dan rekod-rekod sejarah.
Sememangnya jika dilihat dari sudut sejarah dan warisan, ada yang mesti dikenang. Bukan semua perlu dibuang. Cumanya kedudukan Penjara Pudu yang terletak di segi tiga emas pembangunan bandar raya Kuala Lumpur menuntut pengorbanan dan pemahaman yang bukan sedikit.
Diiringi pegawai UDA Holdings dari Unit Komunikasi Korporat, langkah diatur untuk meneroka bahagian dalam bangunan yang semakin usang.
Satu pertiga daripada bangunan di kawasan itu telah pun dirobohkan termasuk bangunan yang menempatkan bilik bagi menjalani hukuman gantung.
Sebaik pintu sementara yang dibina kontraktor yang dibuka ternampak bangunan menempatkan bilik terakhir - iaitu destinasi terakhir pesalah yang menjalani hukuman gantung sebelum melalui detik terakhir mereka. Bilik kusam itu sememangnya menarik perhatian dan mengundang persoalan. Bagaimana agaknya hari-hari terakhir 180 pesalah yang terpaksa merelakan leher mereka dijerut tali gantung di situ.
Apa yang mereka lakukan dan bagaimana kecelaruan fikiran mereka atau mungkin segala-galanya dilalui dengan tenang lantaran peluang memperbaiki diri telah dibuka sementara menunggu hukuman dilaksanakan.
Sebelum memasuki bangunan tersebut, penulis sempat menoleh bahagian lapang di sebelah kiri. Ada kolam bulat menunggu di situ. Sebaik menjenguk kolam tersebut, penulis dimaklumkan di situlah tempatnya banduan mandi beramai-ramai. Kawasan lapang yang terbuka luas itu semestinya menjadi destinasi yang ditunggu-tunggu oleh banduan. Segala-galanya terbuka. Langit membiru pastinya melegakan pandangan yang ditutup oleh jeriji besi. Begitu juga dengan udara yang sepanjang hari diresapi tembok-tembok batu pejal.
Rasa panas terik yang membakar wajah di luar Penjara Pudu bertukar sejuk sebaik melangkah masuk bangunan yang menempatkan bilik terakhir. Boleh saja dirumuskan suasana di dalam penjara tersebut biarpun tidak lagi berpenghuni amat berbeza. Hawa sejuk batu-bata yang membatasi pergerakan para banduan umpama pendingin udara yang menawarkan bau tersendiri. Menyusuri bilik-bilik yang dipagari jeriji besi berat mengundang perasaan yang sukar diungkapkan. Sesekali menjenguk sel yang sarat dengan tulisan, menceritakan keluh kesah si penghuni termasuk ada yang penuh insaf. Melewati bilik rawatan banduan, menangkap ingatan penulis kepada sejarah hitam yang pernah berlaku di situ. Dua orang awam iaitu Dr. Radzi Jaafar dan Dr. Abdul Aziz Abdul Majid pernah menjadi tawanan enam banduan reman diketuai Jimmy Chua. Hanya selepas enam hari banduan tersebut menyerah diri. Kejadian yang berlaku pada 1985 menarik perhatian di dalam dan luar negara. Orang awam menunggu dengan tekun perkembangan laporan insiden tawanan tersebut tanpa jemu umpama drama bersiri di kaca televisyen.
Tangga-tangga sempit menyambungkan bangunan tiga tingkat. Segala-galanya terkongkong. Kelihatan tandas cangkung yang tidak berkepung mahu pun beratap. Aktiviti membersihkan isi perut berlangsung secara terbuka. Selang beberapa bilik disediakan kolah kecil. Menjenguk ruang dalam sel menawarkan aura tersendiri dan sukar diceritakan. Yang pasti ada rasa insaf, gerun dan bayang-bayang penderitaan serta kesengsaraan banduan yang menghuni setiap bilik terutama di bilik terakhir yang luasnya cuma sekangkang kera.
Sememangnya diakui batu-batu bata yang dilepa simen import dari negeri-negeri koloni British itu amat kukuh. Tidak ada ruang yang runtuh atau rosak. Segala-gala berdiri tegak termasuk pintu-pintu masuk yang diperbuat daripada besi keluli berat yang menuntut perahan tenaga apabila dibuka atau ditutup.
Hakikatnya hanya banduan, petugas penjara dan polis yang pernah bertugas di penjara mampu mengabadikan pahit manis Penjara Pudu yang dahulunya dikenali Pudu Goal. Lantaran selepas 115 tahun, Penjara Pudu bakal menyembah bumi sedikit demi sedikit bagi memberi laluan kepada pembangunan komersial dan unit kediaman di situ. Masih ada peluang dan ruang untuk menghayati Penjara Pudu. Runtuhnya bukan serentak, sebaliknya secara perlahan-lahan kenangan fizikal dan mental akan berlalu meninggalkan kita. Dan ketika terdirinya Bukit Bintang City Centre (BBCC) - projek yang dibangunkan UDA Holdings Berhad - sejarah Penjara Pudu hakikatnya masih terpahat dan tidak akan hilang begitu saja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan