HALAMAN SANTAI

Isnin, 28 Jun 2010

Menteri: Ketua kaum di Sarawak dihenti jika sokong pembangkang

BERNAMA

SAMARAHAN — Mana-mana Ketua Kaum yang menyokong pembangkang dalam pilihan raya negeri Sarawak yang akan datang akan ditamatkan perkhidmatan serta-merta kerana ia adalah satu tindakan salah laku yang amat serius, kata Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Sarawak Datuk Seri Michael Manyin.

“Ketua Kaum adalah ejen kerajaan, yang membantu dalam pembangunan masyarakat setempat dan bukannya menentang kerajaan,” kata pada majlis penyerahan surat pelantikan dua Temenggong Samarahan mewakili masyarakat Bidayuh dan Melayu di sini hari ini.

Di Sarawak, jawatan Temenggong yang mewakili kaum tertentu di peringkat bahagian adalah hirarki tertinggi sistem pentadbiran setempat diikuti Pemanca di peringkat daerah, Penghulu dan akhir sekali Ketua Kaum.

Manyin berkata oleh kerana pilihan raya negeri Sarawak semakin hampir, semua Ketua Kaum perlu meningkatkan usaha untuk membantu kerajaan memberi maklumat mengenai kejayaan yang telah dicapai oleh kerajaan negeri terutama sekali membawa pembangunan ke kawasan pedalaman kepada penduduk setempat.

“Bagi meningkatkan lagi sistem penyampaian kerajaan, kerajaan negeri mahu Ketua Kaum bersikap terbuka dalam menerima kritikan dan cadangan,” katanya.

Beliau berkata, jawatan Ketua Kaum kini bukan kekal sepanjang hayat dan telah dihadkan tempoh selama empat tahun.

“Tidak ada undian atau pilihan raya untuk melantik Ketua Kaum kerana sistem yang dilaksanakan sekarang adalah berdasarkan lantikan mengikut persetujuan yang disahkan oleh Pegawai Daerah, Residen Bahagian dan Setiausaha Kerajaan Negeri,” katanya.

Bekas guru Robert Sulis Ridu, 75, dilantik menjadi Temenggong Samarahan mewakili masyarakat Bidayuh manakala Chek Bujang, 59, seorang bekas guru agama, dilantik Temenggong Samarahan mewakili masyarakat Melayu.

Temenggong Bidayuh akan memimpin seramai 152 Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum berbangsa Bidayuh manakala Temenggong Melayu akan memimpin 111 Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum di Samarahan.

Tiada ulasan: