Jimadie Shah Othman |
"(Hasilnya) Positif. Hasrat kita hendak berdakwa disambut baik oleh Khairy. Kita akan buat mesyuarat susulan.
"Setakat ini cuma bincang dulu cadangan-cadangan yang boleh dibuat," kata Fathul yang juga anak bekas mufti Perlis Mat Jahaya Yussin.
Fathul - Ulama lepasan universiti di Madinah dan Jordan itu - diminta mengulas pertemuan dua jam kumpulannya dengan exco-exco Pemuda Umno di ibu pejabat pergerakan itu di Kuala Lumpur pada jam 8.45 malam tadi.
"Pertemuan semalam lebih kepada taaruf (berkenalan) dan mengenali struktur Umno sebagai sebuah organisasi," kata penasihat agama di Institut Jantung Negara (IJN) itu.
Ditanya sama ada cadangan Islam for All itu mahu menyaingi pendekatan PAS for All dalam parti lawan, Fathul sambil ketawa menafikannya.
"Kami mahu gambarkan Islam itu untuk semua, bukan semata-mata untuk pihak tertentu, orang tertentu dan bangsa tertentu," katanya ulama dalam bidang hadis itu.
Beliau bagaimanapun enggan menyatakan jumlah sebenar ulama yang menyertai mesyuarat malam tadi. Beliau sebaliknya hanya berkata "ramai".
Sementara itu, Fadlan Mohd Osman - yang mengetuai kumpulan 40 ulama menyerahkan borang keahlian Umno kepada presidennya Datuk Seri Najib Razak Jumaat lalu - pula berkata kemungkinan kumpulan itu akan bergerak melalui satu biro khas dalam pergerakan itu.
"Hasrat berdakwah itu disambut baik oleh Khairy, mungkin dengan pembentukan lajnah (biro)," kata pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu.
"Semua ini masih di peringkat idea. Kita akan drafkan dulu cadangan kepada Pemuda dan Umno."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan