HALAMAN SANTAI

Isnin, 28 Jun 2010

Anak-anak Syed Kechik gagal capai penyelesaian

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Anak-anak allahyarham Tan Sri Syed Kechik Syed Mohamed Al-Bukhary gagal mencapai penyelesaian di luar mahkamah berhubung pentadbiran estetnya bernilai RM400 juta.

Pertikaian itu kini akan didengar oleh Mahkamah Tinggi pada 7 Julai.

Para peguam yang mewakili Syed Gamal dan dua adik perempuannya, Puan Sri Sharifah Zarah dan Sharifah Munira, melaporkan kegagalan adik beradik berkenaan mencapai persetujuan itu kepada Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Anantham Kasinather di dalam kamar hari ini.

Atan Mustaffa Yussof, peguam yang mewakili Syed Gamal, berkata mahkamah kemudian menetapkan 7 Julai untuk mendengar permohonan Syed Gamal untuk membatalkan saman pemula yang dikemukakan oleh kedua-dua adiknya itu terhadapnya.

Syed Gamal ialah anak lelaki tunggal Syed Kechik dengan isteri pertamanya, Zainab @ Eshah manakala Sharifah Zarah dan Sharifah Munira ialah anak dengan seorang lagi isterinya, Puan Sri Sofiah Moo Abdullah.

Syed Kecik menceraikan Zainab ketika Syed Gamal berumur lima tahun.

Kemelut keluarga itu bermula selepas Syed Kechik meninggal dunia pada April tahun lepas, pada umur 81 tahun, tanpa meninggalkan wasiat.

Allahyarham adalah bapa mentua kepada pengerusi Yayasan Al-Bukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, hartawan terkaya Melayu dan disenaraikan sebagai tokoh kelapan terkaya di negara ini.

Pada 9 Nov tahun lepas, Syed Kechik Holdings Sdn Bhd, Sharifah Zarah dan Sharifah Munira memohon diisytiharkan bahawa Syed Gamal, selaku benefisiari estet Syed Kechik, tidak mempunyai hak atau kepentingan dalam aset syarikat itu sehingga pentadbiran dan pengagihan estet itu selesai.

Kedua-dua beradik itu memohon satu perintah bagi menghalang Syed Gamal atau ejen-ejennya daripada akses dan campur tangan dalam aset, rekod, akaun dan hal ehwal syarikat itu.

Mereka juga memohon satu perintah untuk menghalang Syed Gamal daripada campur tangan dalam pelaksanaan tugas dan kuasa mereka sebagai pengarah syarikat dan hal ehwal korporat lain, termasuk pemindahan dan penjualan saham syarikat.

Pada 15 Jan, Sharifah Zarah dan Sharifah Munira, memperoleh injunksi sementara untuk menghalang Syed Gamal daripada campur tangan dalam hal ehwal syarikat sehingga saman pemula itu diputuskan Mahkamah Tinggi Sivil.

Syed Gamal memperoleh injunksi ex-parte daripada Mahkamah Syariah pada 14 September tahun lepas untuk menghalang 44 peratus sahamnya dalam syarikat itu daripada dijual atau dicairkan.

Pada 11 Nov, 2009, Mahkamah Rayuan Syariah memperakui keputusan itu selepas menolak rayuan Sharifah Zarah dan Sharifah Munira.

Dua beradik itu, yang melantik peguam Datuk N.Vijay Kumar untuk mewakili mereka kemudian membawa kes itu ke Mahkamah Tinggi Sivil melalui saman pemula. — Bernama

Tiada ulasan: