Oleh Ustaz Idris Haji Ahmad
SEBAGAI sebuah parti yang dinamik, berpegang dengan prinsip agama, maka PAS mengorak langkah setapak lagi dengan melakukan satu ijtihad politik pada 10 Jun 2010 dalam Mesyuarat Majlis Syura PAS di Kota Bharu, Kelantan yang mengambil keputusan mengharuskan calon bukan Islam bertanding menggunakan lambang parti itu dalam pilihan raya umum akan datang.
Keputusan yang dibuat berdasarkan hujah syarak melalui al-Quran, hadis ijmak dan qias. Inilah kekuatan PAS yang memiliki ulamak muttaqin dan berwibawa.
Sudah tentu keputusan yang dibuat bukan dengan nafsu tetapi dengan amanah ilmu. Keputusan itu telah mencukil khazanah ilmu yang terpendam dalam kitab-kitab yang begitu berharga kepada umat Islam. Inilah kelebihan PAS yang mempunyai ulamak yang berwibawa dari sudut hukum dan siasah. Apakah di dalam Umno, orang-orang agama dirujuk dalam sesuatu isu? Atau dirujuk dalam merangka dasar?
Sudah pasti tidak. Ulamak dalam Umno hanya menjadi kubang tembaga yang tidak ada nilai. Mereka hanya laku untuk mencari dalil bagaimana hendak melawan PAS. Itu pun hanya berani jauh-jauh, ajak berdebat tidak pernah disahut. Keputusan ini Majlis Syura itu, telah menjadi keresahan musuh-musuh PAS. Media umno telah menyamakan apa yang PAS lakukan bertentangan dengan Islam. PAS sudah terkeluar daripada landasan perjuangan, kononya. Saya hairan juga kenapa Umno begitu risau dengan keputusan yang diambil oleh PAS itu?
Ada seorang Profesor sebuah universiti, meminta secara sinis agar PAS menukar namanya, kerana membenarkan orang bukan Islam bertanding atas lambang PAS. Sebelum PAS disuruh tukar nama, saya meminta dia tukar namanya terlebih dahulu, kerana nama beliau sebagai nasionalis Melayu totok, tidak sesuai dengan ideologi perjuangan Melayu yang dianut beliau.
Memang Profesor ini saya kenal sewaktu menjadi Timbalan Naib Cancelor Universiti Malaya dahulu. Dia adalah orang yang cukup anti gerakan pelajar yang beroreintasikan Islam. Sepatutnya, dia sudah insaf, maklumlah nyawa di hujung umur. Kembalilah ke jalan Allah. Jangan malukan ahli akademik yang lain. Lebih baik letak jawatan Profesor dan jadilah Pengerusi JKKP merangkap ketua cawangan Umno di mana-mana tempat dalam Selangor.
Mereka hendak menyamakan apa yang PAS lakukan sama seperti Umno dalam komponan Barisan Nasional. Oh jangan samakan apa yang PAS buat. Ia amat berbeza, seperti langit dan bumi. Umno berkawan dan berwala’ dengan bukan Islam sehingga menggadaikan prinsip, sedangkan PAS "bertahalluf" tanpa menggandaikan prinsip Islam. Perkara ini dapat dilihat dalam Kerajaaan Pakatan Rakyat di Selangor dan Pulau Pinang terutamanya. PAS boleh menyebarkan kefahaman Islam dengan bebas. Selama 50 tahun Islam dibelenggu, sehingga rakyat tidak memahami agama Islam dengan betul.
Semuanya angkara Umno-BN, yang menyekat perkembangan Islam. PAS tidak rugi bertahalluf dengan Pakatan Rakyat, yang ruginya ialah Umno. Umno gigit jari melihat PAS bersama dalam Pakatan Rakyat dan diterima baik oleh bukan Islam. Umno menggunakan media propaganda mereka untuk meletakkan kononnya PAS "boneka" DAP dan KeADILan.
Kalau PAS jadi boneka DAP dan PKR, umno pula “pak yet” siapa?. Apa yang umno buat untuk orang Melayu dan Islam. Mungkin kuncu-kuncu umno jawab umno buat sekolah agama, dirikan masjid, adakan tabung haji, bantu orang susah melalui zakat, umno buat universiti Islam, bank Islam. Ini adalah jawapan yang Umno kemukakan kepada orang Melayu supaya mahu menampakkan parti itu berjasa pada Islam. Jawapan inilah yang dikemukan sejak zaman raja bersiong lagi. Umno izinkan judi, dirikan kilang arak, dan menaja program maksiat. Umno tidak bagi tahu kepada rakyat hal ini di kampung-kampung.
PAS tidak pernah menentang apa kebaikan yang Umno buat, malahan boleh dikatakan semua wang PAS disimpan dalam Bank Islam atau dalam kaunter bank yang menawarkan perbankan Islam. Bagaiamana pula umno? Adakah ia simpan dalam bank Islam juga? Mereka bercakap dengan orang Islam kononnya umno yang membuka Bank Islam, tetapi mereka tidak memberitahu akaun bank mana wang Umno disimpan? Sikap umno tidak ubah seperti kaldai yang membawa kitab, dan dia tidak membaca apa yang dia bawa.
Bukan Islam yang akan bertanding menggunakan logo PAS perlu mematuhi kepada prinsip Islam yang PAS pejuangkan. PAS meletakkan syarat-syarat yang ketat sebelum mereka dibenarkan bertanding antaranya, mereka hendaklah faham pada ajaran Islam serta bermoral tinggi.
Mereka yang tidak bermoral tinggi tidak layak, seperti mana juga ada di kalangan ahli PAS yang tidak dibenarkan bertanding jika tidak memenuhi piawai yang telah ditentukan oleh parti. Membenarkan orang bukan Islam tidak bererti PAS menggadaikan prinsip. Tindakan yang PAS lakukan sebagai satu langkah untuk melihat kemurnian dan keindahan Islam kepada orang bukan Islam.
PAS telah membuktikan, dalam Islam tidak pernah memaksa orang bukan Islam untuk menganut agama Islam. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: "Tidak ada paksaan dalam agama". PAS tidak memaksa orang bukan Islam. Hak beragama adalah hak mereka. Dalam masa yang sama, PAS cuba berdakwah menunjukkan keindahan Islam keapda orang bukan Islam.
Apa Umno buat dalam BN, ketika mereka berkawan dengan MCA, MIC, Gerakan dan lain-lain parti bukan Islam selama ini? Apakah di kalangan parti komponan mereka sudah jinak dengan Islam? Apa yang kita lihat, orang bukan Islam yang berkawan dengan Umno semakin jauh dan liar dengan Islam. PAS tidak menyalahkan orang bukan Islam dalam hal ini. Orang bukan Islam menjadi keliru dengan Islam kerana mereka melihat pemimpin Umno cakap tidak serupa bikin.
Dalam isu judi, mereka dengan pemimpin Umno bercakap berlainan dengan apa yang dicakap dalam musabaqah al-Quran. Ketika musim musabaqah al-Quran, para peserta membaca ayat yang mengharamkan judi seperti dalam surah al-Maidah ayat 90 yang bermakusd: "Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (arak), judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang panah, adalah perbuatan keji daripada amalan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaaya kamu berjaya. Sesungguhnya syaitan itu memang bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di kalangan kamu di sebabkan arak dan judi, malah mereka mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan mengerjakan sembahyang. (Oleh yang demikian) tidakkah kamu mahu berhenti." - al-Maidah ayat 90.
Ketika musim musabaqah bola sepak piala dunia, pemimpin Umno mengatakan judi yang diharamkan dalam musabaqah al-Quran jadi halal pula. Tidakkah orang bukan Islam keliru, kalau inilah lidah bercabang yang bercakap. Inilah yang disebut oleh seorang pujangga, "Islam terhalang oleh orang Islam sendiri".
Berbeza dengan PAS, kita konsistan menentang judi, samada di musim musabaqah al-Quran atau musim bola sepak. Penentangan PAS tidak bermusim. Buktinya boleh dilihat Kerajaan Kelantan sudah tidak ada judi, begitu juga jasa PAS kepada rakyat di Terengganu sewaktu memerintah 1999-2004. PAS tidak membenarkan judi beroperasi lagi sehingga hari ini Terengganu tidak ada kedai judi, kesan daripada jasa PAS di ketika memerintah dulu.
Walaupun waktu Umno memerintah dahulu kedai judi tumbuh subur macam kacang hijau disiram air, tetapi bila PAS berkuasa, kedai judi ditutup. Inilah PAS yang sangat berbaza dengan Umno dalam soal judi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan