HALAMAN SANTAI

Sabtu, 26 Jun 2010

Tak mesra alam: Pintu gerbang RM150,00 dirobohkan

BERNAMA



Pintu gerbang yang baru dibina di Taman Botani, Pulau Pinang akan dirobohkan tidak lama lagi atas permintaan orang ramai serta bantahan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa pembinaannya tidak mesra alam sekitar.

Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata keputusan merobohkan pintu gerbang yang bernilai RM150,000 itu dibuat selepas mendapat persetujuan Kabinet.

"Kabinet sebulat suara bersetuju dengan cadangan kementerian untuk merobohkan pintu gerbang itu kerana kita mendengar pandangan dan suara rakyat," katanya kepada pemberita di Pualau Pinang hari ini.

Katanya pintu gerbang itu akan diroboh setelah agensi terlibat mengadakan perbincangan dengan pihak kontraktor.

Beliau berkata berdasarkan kaji selidik yang dilakukan oleh Universiti Sains Malaysia (USM) berhubung pembinaan pintu gerbang itu, 71 peratus daripada 1,225 responden bersetuju ia dirobohkan.

Dr Ng berkata kaji selidik yang dilakukan dari 12 hingga 18 Jun itu merangkumi 63 peratus penduduk Pulau Pinang, 34 peratus pelancong dari negeri lain dan tiga peratus pelancong asing.

Pembinaan pintu gerbang yang termasuk dalam projek menaik taraf Taman Botani itu mendapat bantahan orang ramai termasuk 'Friends of Botanic Gardens' (FOBC) yang dianggotai oleh beberapa NGO atas kepentingan alam sekitar.

Sehubungan itu, katanya kementerian itu mahu pihak terbabit seperti kerajaan negeri dan agensi berkaitan merujuk kepada NGO terlibat sebelum mengemukakan permohonan melaksanakan projek pelancongan di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh jika projek yang dirancang itu melibatkan alam sekitar.

"Walaupun begitu, kelulusan akhir untuk sebarang pelaksanaan projek yang dimohon itu akan ditentukan oleh kementerian," katanya.

Beliau berkata kementerian mahu semua projek pelancongan yang dilaksanakan di negara ini tidak membawa kesan negatif kepada alam sekitar.

Tiada ulasan: