HALAMAN SANTAI

Isnin, 28 Jun 2010

Kemelut PKR Selangor: Perebutan kuasa sesuatu yang lumrah, Josh Hong

Chen Shaua Fui

Menjelang pemilihan parti PKR pada akhir tahun ini, Naib Presiden Azmin Ali mula mengatur langkah serangannya terhadap Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim. Apakah asakan demi asakan yang berlangsung sekian lama ini bakal menggulingkan Khalid Ibrahim, atau sekadar berakhir dengan lebih sumber dilepaskan oleh Menteri Besar ini?

Pertembungan antara Azmin Ali (gambar kiri) dengan Khalid Ibrahim bukanlah sesuatu yang baru. Pada 9 Julai 2009, Azmin Ali selaku Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan DUN Selangor telah mencadangkan agar MB merombak barisan EXCO-nya, tetapi cadangan ini tidak diterima.

Namun, pergelutan semakin meruncing, menyaksikan bagaimana Khalid Ibrahim menjadi sasaran kritikan dalam Kongres tahunan PKR yang berlangsung pada hujung Mei tahun ini. Keadaaan bertambah ketara, apabila Azmin Ali meletakkan jawatannya sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), dan kemudian digemparkan pula dengan laporan akhbar Star bahawa 15 orang ahli parlimen menyokong desakan agar Khalid Ibrahim berundur dari jawatan Menteri Besar.

Rakyat harus memantau apa yang berlaku

Sudah lebih dua tahun Pakatan Rakyat memerintah di negeri yang terkaya di Malaysia, memasuki pertengahan tempoh sepenggal. Biarpun bekas tokoh korporat ini dipuji dari segi pengurusan ekonominya, namun sikapnya dalam pengagihan projek mencungkil ketidakpuasan pimpinan dan akar umbi partinya. Rata-rata wakil rakyat PKR berkongsi kekhuatiran bahawa PKR-PR bakal kehilangan kuasa di kubu mereka yang terpenting ini.

Ketidakpuasan ini memuncak apabila PKR kecundang di PRK Hulu Selangor, dan dilepaskan dalam Kongres Tahunan PKR yang bertempat di Kota Bahru, Kelantan. Perlantikan Naib Presiden Sivarasa Rasiah dan ahli Majlis Pimpinan Pusat Kamarul Bahrin Abbas sebagai Pengarah bebas dan bukan eksekutif dalam Kumpulan Perangsang Berhad kemudiannya gagal meredakan keadaan, dan Khalid Ibrahim (gambar kanan) terus didesak oleh sesetengah pemimpin.

Penganalisa politik, Josh Hong ketika ditemuramah MerdekaReview berkata, adalah sesuatu yang boleh difahami apabila sesebuah parti politik takut kehilangan kuasa. Jikalau dilihat beberapa negeri yang dikuasai PR, Pulau Pinang dimiliki DAP, Kedah dan Kelantan pula dalam genggaman PAS. Apa yang ada untuk PKR hanyalah Selangor.

"Sekiranya kita melihat keadaan Koh Tsu Koon (Presiden Gerakan), yang tidak diendahkan sesiapapun selepas Gerakan kehilangan Pulau Pinang, kita akan memahami realiti ini. Malah, MCA yang dipandang rendah sehingga hari ini (sejak PRU ke-12), antara faktornya adalah kerana parti ini tidak menguasai mana-mana negeri, yang boleh digunakan sebagai gelanggang untuk mengembalikan sokongan," jelas Josh Hong.

Oleh yang demikian, Josh Hong (gambar kiri) menganggap bahawa kita tidak perlu terlalu bimbang dengan pergelutan kuasa yang berlaku dalam PKR. Beliau menganggap perebutan semestinya berlaku dalam tahun pemilihan. Malah, beliau menganggap rakyat seharusnya mengambil kesempatan untuk mengamati dan meneliti apa yang berlaku dalam parti ini, dan memilih mereka yang berkebolehan dalam PRU yang akan datang, memastikan penggerak reformasi mampu untuk menempah tempat dalam parti ini.

Perbezaan latar belakang

Selain itu, tindak tanduk Azmin Ali kali ini dibaca umum sebagai bertujuan untuk merebut lebih sumber, agar diagihkan kepada sektanya, supaya membuka jalan dalam pemilihan parti yang bakal berlangsung. Sebagaimana yang diketahui, Timbalan Presiden, Syed Husin Ali dijangka tidak akan mempertahankan jawatannya menjelang pemilihan, dan Azmin Ali yang dilihat berpeluang untuk mara selangkah ke depan, mungkin sedang mencaturkan orangnya ke dalam Majlis Pimpinan Pusat.

Sumber bisa mengekalkan kesetiaan penyokong. Demikianlah andaian yang digunakan untuk menjelaskan motif Azmin Ali. Namun demikian, penyaluran sumber dari kerajaan ke dalam parti adalah amalan yang dikritik sekian lama ini, dan kini, PKR dilihat bakal mengulangi amalan ini.

Memandang kepada realiti politik di Malaysia, Josh Hong menganggap parti politik tempatan telah membiasakan diri dengan model pengagihan sumber sedemikian, iaitu terbelenggu dengan mentaliti bahawa "siapa perintah dialah yang menguasai sumber".

Josh Hong cuba mengulas isu pergelutan kuasa ini dengan mengimbas sejarah parti ini, bahawa ramai yang berjuang sejak zaman reformasi, yang sudah tentunya melalui keadaan yang paling menderita. Tidak kurang yang berdepan dengan keganasan polis, sementara ramai pula yang dikurung dalam penjara kerana perjuangan parti ini.

Jadi, timbul pandangan bahawa sudah tiba masanya pejuang-pejuang ini mendapat sedikit pampasan, setelah PKR memerintah di Selangor. Namun demikian, tiada perbincangan secara terbuka dalam isu pengendalian sumber, misalnya garis yang harus diletakkan antara parti dengan kerajaan, kata Josh Hong.

"Oleh yang demikian, Khalid yang menyertai PKR beberapa tahun kebelakangan ini, mungkin tidak memahami apa yang difikirkan golongan seperti Azmin Ali, kerana tidak melalui proses yang dialami Azmin Ali dan penyokongnya sejak zaman reformasi. Khalid mentadbir seolah-olah seorang CEO (Ketua Pengawai Eksekutif), ini perbezaan budaya pengurusan," jelas Josh Hong.

Lapisan generasi baru

Pergelutan PKR kali ini mungkin menimbulkan ketidaksenangan di kalangan penyokong PR, yang memberi persepsi bahawa tiada bezanya antara UMNO dengan PKR. Josh Hong mencadangkan agar tumpuan rakyat dipanjangkan ke masa depan, meletakkan harapan ke atas bahu lapisan pimpinan generasi muda PKR seperti Nurul Izzah, Nik Nazmi, Yusmadi Yusoff dan sebagainya.

Josh Hong menganggap fokus kini terlalu ditumpukan kepada Azmin Ali, yang dulunya berasal dari UMNO, sehingga mengabaikan sesetengah penggerak perubahan dalam parti, misalnya Pengarah Pilihan Raya Pusat, Fuziah Salleh yang berdepan dengan rintangan dalam parti apabila beliau cuba mereka mekanisme perlantikan calon pilihan raya.

Untuk Josh Hong, perebutan kuasa adalah sesuatu yang lumrah dalam parti menjelang pemilihan, tetapi beliau masih sempat melihat sesuatu yang positif daripada pergelutan ini, iaitu kritikan terhadap Khalid berasaskan kemampuan pentadbirannya, dan bukan bertitik tolak daripada "siapa lebih mempertahankan kepentingan kaum atau agama".

"Ini merupakan satu anjakan paradigma (dalam politik)," kata Josh Hong.

*Chen Shaua Fui ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Disedut, diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang dari teks asal.

Tiada ulasan: