HALAMAN SANTAI

Selasa, 29 Jun 2010

Kerajaan terus beli beras pada harga tinggi

BERNAMA



Kerajaan akan tetap membeli padi daripada petani dengan harga minimum RM750 setan metrik walaupun harga beras dunia kini berada di bawah paras minimum, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar.

Beliau berkata langkah kerajaan itu akan memastikan kebajikan dan pendapatan golongan petani dapat terus dilindungi walaupun harga padi dunia berada pada paras yang merugikan mereka.

Justeru, pihak kerajaan menerusi Padi Beras Nasional Berhad (Bernas) diarahkan untuk terus membeli beras daripada petani dengan harga tersebut, kata Noh kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Padi Kebangsaaan 2010 di Lumut hari ini.

Katanya dengan harga belian berkenaan kerajaan telah mengeluarkan subisidi kira-kira RM284 bagi setiap petani yang mengusahakan tanaman makanan ruji itu.

Di Teluk Intan, pada majlis dialog dengan petani kawasan Sungai Manik, Noh berkata kementeriannya sedang merancang mewujudkan beberapa Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) dalam usaha untuk menaik taraf sosio-ekonomi petani.

Mengenai rayuan petani di Sungai Manik yang mahu IADA Kerian-Sungai Manik dibahagi kepada dua kawasan berasingan, beliau berkata kementerian tidak ada halangan untuk melaksanakannya.

Projek itu yang telah diwujudkan sejak 1979 merupakan salah satu dari lapan jelapang padi yang terbesar di negara ini.

Katanya, IADA Kerian-Sungai Manik terlalu luas kawasan operasinya dan memang wajar dipisahkan untuk pemantauan dan pengurusan yang lebih bersistematik.

Beliau berkata sistem kejuruteraan telah pun dibuat secara berasingan antara jelapang padi Sungai Manik dan Kerian.

"Dengan perpecahan projek IADA, kita akan menambah bilangan pegawai mengikut prosedur yang ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)," katanya.


Tiada ulasan: