BERNAMA
MACHANG - Seramai 500 pelajar miskin tegar yang sebahagian besarnya dari Kelantan ditawarkan tempat di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kelantan bagi sesi pengajian Julai-November 2010.
Mereka juga akan dikecualikan daripada membayar yuran pengajian selain menerima elaun RM400 sebulan.
Pengarah UiTM Kelantan, Datuk Prof Dr Hussin @ Mohamed Ab Rahman berkata, pelajar berkenaan adalah pemohon yang sebelum ini gagal mendapat sebarang tawaran di institusi pengajian tinggi lain.
"Mereka juga akan diberi tempat tinggal di asrama secara percuma," katanya.
Pelajar berkenaan adalah antara 2,300 pelajar baru diterima masuk ke kampus UiTM Machang dan Kota Bharu bagi sesi pengajian sekarang.
Dr Hussin berkata, pihaknya memohon peruntukkan dengan Kerajaan Pusat untuk membina bangunan baru di kedua-dua kampus berkenaan di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10) bagi menampung jumlah pelajar yang semakin ramai termasuk 6,000 pelajar sedia ada.
"Kawasan seluas lebih 100 hektar di UiTM Machang disediakan bagi pembinaan tiga hingga empat bangunan kolej baru, manakala bagi kampus Kota Bharu, kami sedang cari tapak sesuai untuk pembinaan kolej yang dapat menampung sehingga 5,000 pelajar.
"Kita mensasarkan akan mengambil pelajar di kampus Machang seramai 8,000 orang sementara di kampus Kota Bharu sekurang-kuranya seramai 3,000 orang menjelang 2015," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan