HALAMAN SANTAI

Rabu, 30 Jun 2010

‘Buku saya disekat, tapi bukan minda saya’ – Zunar

Oleh Teoh El Sen


PETALING JAYA: Buku dan komik beliau dirampas dan diharamkan penjualannya, namun bagi kartunis Zulkiflee Anwar Ulhaque atau lebih dikenali sebagai Zunar berjanji tidak akan berhenti melukis walaupun terpaksa berdepan dengan halangan tersebut.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 24 Jun lalu, mengumumkan larangan bagi buku bertajuk "Perak Darul Kartun" dan dua komik berjudul "Isu Dalam Kartun’ dan "1 Funny Malaysia", yang melanggar Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Pada Ogos lepas, KDN merampas 408 salinan edisi sulung "Gedung Kartun" dari pejabat Zunar di Kuala Lumpur.

"Kerajaan boleh haram atau sekat buku-buku saya. Mereka boleh haramkan majalah saya. Tapi mereka (kerajaan) tidak boleh sekat minda saya. Saya tidak akan berhenti melukis sehingga titisan dakwat terakhir," kata Zunar yang kini menginjak usia, 47.

Sebagai seorang kartunis politik sudah menjadi kewajipan beliau untuk "mendedahkan salah laku dan rasuah yang dilakukan oleh Barisan Nasional".

Malah beliau menyifatkan tindakan tersebut sama seperti yang dilakukan kartunis-kartunis dari negara lain.

"Tetapi disebabkan kerajaan Malaysia tidak biasa dikritik, maka mereka sekat dan haramkan buku-buku saya," katanya.

Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Mahmood Adam mengatakan bahawa ketiga-tiga bahan penerbitan itu dikenakan Perintah Larangan kerana mengandungi bahan yang boleh mempengaruhi pemikiran rakyat untuk menentang kepimpinan dan dasar kerajaan.

Tuntut Penjelasan Perintah Larangan

Dalam pada itu, Zunar menuntut penjelasan berhubung perintah larangan itu.

"Sila jelaskan bagaimana ia boleh menjejaskan ketenteraman awam. Tuduhan bersifat menghasut yang dikenakan terhadap saya adalah tidak wajar.

"Jika tiada sebarang penjelasan lanjut mengenainya, saya menuntut agar pihak KDN tarik balik kenyataan dan minta maaf kepada saya dan pasukan saya secara terbuka. Malah saya akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang," katanya.

"Kerajaan mensasarkan tindakan ini ke atas saya. Saya tidak fikir majalah atau buku kartun ini sebab utama mereka, namun saya fikir mereka terganggu dengan hasil kerja saya yang diletakkan dalam portal berita Malaysiakini dan Harakah.

"Mereka tidak boleh halang penerbitan kartun-kartun itu maka mereka membuat keputusan untuk buat perintah larangan. Mereka cuba halang saya daripada terus melukis.

"Ya, mereka berjaya halang saya daripada menerbitkan buku mahupun komik, tapi saya tidak berhenti daripada meneruskan perjuangan ini. Bulan depan saya akan menerbitkan kompilasi komik yang sama dengan "1 Funny Malaysia"," katanya.

"Hadap saya ke mahkamah’

Sambil mempertahankan hasil kerja beliau, Zunar mendakwa kartunnya berdasarkan penyelidikan berhubung politik semasa di Malaysia.

"Yang mana satu salah? Jika kerajaan tidak suka dengan kartun saya, mereka boleh hadapkan saya ke mahkamah," katanya sambil menyifatkan larangan itu sebagai satu percubaan mengongkong pandangan alternatif.

Zunar yang mendakwa beliau merupakan kartunis pertama menerima ‘perintah larangan’ menganggarkan kerugian RM50,000 dan RM80,000 ekoran insiden tersebut.

"Saya rasa bagus dan sebaliknya. Bagus kerana saya menerima banyak sokongan moral, namun sebaliknya saya rasa seperti di buli. Dari segi kewangan saya ada pekerja yang perlu diambil berat, dan bila perkara ini terjadi kami perlu fikir tentang kos itu," katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau akan mempertimbangkan penerbitan buku secara online, beliau berkata "ia tidak efektif seperti menjual dalam bentuk cetakan".

Tiada ulasan: