BERNAMA
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki mati manakala lelaki yang membunuhnya juga maut setelah terjatuh bangunan dalam cubaan melarikan diri dalam kejadian di tingkat tiga sebuah rumah kedai di Taman Melawati, Hulu Klang, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Abdul Jalil Hassan, berkata dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, mangsa yang juga rakan serumah kepada abang suspek bergaduh dalam sebuah bilik rumah itu.
Beliau berkata, abang suspek yang mendengar pergaduhan itu masuk ke dalam bilik dan terkejut apabila melihat rakan serumahnya mati dengan kepala berlumuran darah akibat dipukul dengan batang besi manakala adiknya juga berlumuran darah dengan sebilah pisau tercacak di perut.
"Abang suspek kemudian meluru keluar untuk membuat laporan polis dan ketika itu suspek walaupun berlumuran darah kerana cedera cuba melarikan diri dengan memanjat bumbung rumah kedai itu tetapi terjatuh," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata, suspek yang cedera parah dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), tetapi meninggal dunia pada 6.30 petang manakala mayat mangsa dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat.
"Sebatang besi dan sebilah pisau ditemui di tempat kejadian," katanya.
Sementara itu, rakan mangsa, Eddy Suraj,32, yang juga saksi kejadian, berkata ketika sedang membaiki kereta berhampiran rumah kedai itu beliau terlihat suspek memanjat bumbung sambil memegang sebatang besi.
"Ketika itu badannya berlumuran darah. Apabila polis sampai dia naik ke atas bumbung dan tidak mahu turun walaupun polis memujuknya sehinggalah dia terjatuh," katanya. -
Tiada ulasan:
Catat Ulasan