HALAMAN SANTAI

Rabu, 30 Jun 2010

SPR dan Umno Hasut Bumiputera Benci Kaum Lain?

THE MALAYSIAN INSIDER

Kenyataan yang disiarkan akhbar Berita Harian hari ini jelas menunjukkan bahawa Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan Umno menyentuh isu perkauman untuk menarik perhatian kaum Bumiputera mendaftar sebagai pengundi dengan mendakwa kononnya pendaftaran pengundi bukan Bumiputra meningkat menjadi 40 peratus sekarang.

Ahli Parlimen DAP-Rasah Anthony Lok Siew Fook menyatakan kenyataan SPR tersebut jelas dilihat berkomplot bersama Umno untuk mewujudkan kebencian belia Melayu kepada kaum lain agar mengembalikan 10 peratus yang kononnya telah dirampas.

"Fakta pengundi bukan Melayu yang disiarkan dalam akhbar Berita Harian adalah tidak benar dan hanya propaganda untuk menghasut golongan Bumiputera membenci kaum lain.

"Sebenarnya pengundi Bumiputera adalah 70 peratus dan pengundi bukan Bumiputera hanyalah 30 peratus, bukan seperti yang dinyatakan iaitu pengundi bukan Bumiputra meningkat menjadi 40 peratus," katanya di lobi Parlimen hari ini.

Menurutnya, dengan kenyataan sedemikian, golongan Bumiputra akan merasa tercabar sekaligus mendaftarkan diri menjadi pengundi dengan segera agar kaum lain tidak menguasai peratus pengundian di negara ini.

Tambah beliau, SPR sepatutnya memberi kenyatan tepat dan bukannya mewujudkan satu reaksi buruk kepada golongan belia untuk mula berdaftar.

Kenyataan bersifat rasis

Ahli Parlimen Pokok Sena Dato’ Mahfuz Omar berkata, kenyataan SPR dan Umno mempunyai agenda politik untuk menakutkan masyarakat Melayu yang belum berdaftar dan menyatakan seolah-olah kaum Cina di negara ini adalah satu ancaman untuk menguasai pengundian kelak.

"Kenyataan dalam akhbar tersebut adalah satu kenyataan yang bersifat rasis untuk merosakkan hubungan kaum dinegara ini. Sepatutnya SPR dan Umno harus menyalahkan diri mereka sendiri berikutan kekurangan pendaftar Bumiputera kerana membenci mereka.

"Kerajaan Umno dan SPR seharusnya lebih bersedia untuk meminda perlembagaan atau peraturan pilihan raya melibatkan pendaftaraan automatik jika umur sudah mencapai 21 tahun, agar tidak timbul persoalan ini lagi," katanya. -FMT

Tiada ulasan: