BERNAMA | ||
|
Presidennya Alwi Bavutty berkata sejak pembekuan pembantu rumah dari Indonesia pada Jun tahun lepas, PAPA mula membawa masuk pembantu rumah dari Kemboja, Vietnam dan Filipina bagi memenuhi permintaan.
Bagi mendapatkan khidmat mereka, beberapa agensi yang menyediakan perkhidmatan pembantu rumah asing Malaysia dibawa ke negara berkenaan untuk melatih calon pembantu rumah dengan kerjasama agensi tempatan sebelum mereka dibawa masuk ke negara ini.
"Kita perlu memastikan mereka berkelayakan sebelum dibawa bekerja ke negara ini," katanya ketika dihubungi Bernama di Kuala Lumpur.
Menurutnya pada ketika ini, terdapat kira-kira 300,000 pembantu rumah Indonesia yang masih bekerja di Malaysia.
Alwi berkata kebanyakan pembantu rumah dari Kemboja, Vietnam dan Filipina bukan beragama Islam kerana sebahagian besar permintaan untuk mendapatkan pembantu rumah ini adalah dari kalangan kaum Cina.
"Walaupun masih kurang cekap jika dibanding dengan pembantu rumah Indonesia yang dahulunya mendominasi pekerjaan ini, saya percaya mereka akan mahir jika terus dilatih," katanya.
Kerajaan Indonesia menghentikan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia berikutan beberapa insiden penderaan amah selain ketiadaan faedah pekerjaan seperti gaji minimum dan hari rehat.
Indonesia mencadangkan untuk menetapkan gaji minimum sebanyak RM800 manakala Malaysia tetap berpendirian gaji perlu berdasarkan pasaran selain perbincangan antara majikan dan pembantu rumah terbabit.
Menyokong keputusan gaji berasaskan faktor pasaran, Alwi berkata penetapan gaji perlu menguntungkan kedua-dua pihak iaitu majikan dan pembantu rumah, selain berdasarkan kualiti perkhidmatan serta kelayakan pendidikan pembantu rumah berkenaan.
"Secara purata, gaji pembantu rumah kini ialah RM500 ke atas serta bergantung perbezaan tempat sama ada di bandar ataupun di luar bandar. Namun jika pembantu rumah mempunyai kualiti kerja yang baik, majikan boleh menimbangkan gaji lebih tinggi," katanya.
Diminta mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia Terengganu Ahmad Razif Abd Rahman bahawa Terengganu akan memperkenalkan skim latihan pembantu rumah selama tiga bulan untuk hampir 2,000 ibu tunggal di negeri itu pada 20 Jun lepas, pihak PAPA menyambut baik cadangan itu.
"Kita menyokong cadangan itu kerana ini secara tidak langsung dapat membantu mereka di samping menambah pendapatan mereka sebagai ibu tunggal.
Alwi berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat perlu mengambil inisiatif bagi memantau perkara tersebut dan kita boleh melatih mereka walaupun ia mengambil masa.
Sementara itu, beberapa agensi perkhidmatan pembantu rumah dari sekitar ibu negara dan Selangor ketika dihubungi untuk meminta pandangan berpendapat ketiadaan pembantu rumah Indonesia tidak memberi impak kepada perniagaan mereka kerana masih terdapat ramai pembantu rumah asing yang mahu bekerja di negara ini.
Bagaimanapun, agensi-agensi pembantu rumah tersebut mengalu-alukan penarikbalikan pembekuan pembantu rumah dari Indonesia sejak pertengahan Jun tahun lepas apabila kedua-dua negara akan menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU).
Pada 20 Jun lepas, Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam berkata MoU itu akan ditandatangani pada Julai apabila isu penstrukturan kos seperti kos pengambilan dan kos membawa masuk pembantu rumah Indonesia diselesaikan.
Beliau berkata kebanyakan isu utama telah diselesaikan dan isu penstrukturan kos masih dibincang antara pegawai kedua-dua buah negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan