Ismail Hashim |
SHAH ALAM: Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, konsep Hari Ilmu dan Gerakan Membaca adalah kaedah terbaik yang mampu melahirkan rakyat yang bijak dan berkualiti serta menjadikan Selangor sebagai pusat pencarian ilmu. Titah baginda, ilmu pengetahuan tidak akan datang kepada kita dengan sendiri tetapi kita hendaklah berusaha untuk mencarinya dengan membaca buku-buku ilmu pengetahuan. Baginda juga menyeru kepada seluruh rakyat agar banyak baca buku ilmu pengetahuan dan jangan hanya membaca majalah gosip atau bahan bacaan berbentuk hiburan sahaja. Sultan Selangor menasihati rakyat supaya tidak hanya bersungguh-sungguh ketika kempen membaca diadakan tetapi perlu disematkan di jiwa untuk mencari ilmu dengan membaca sepanjang hayat. "Kaji selidik perlu dibuat supaya tabiat membaca rakyat dapat dipertingkatkan dan usaha hendaklah dilakukan bagi memupuk minat membaca di kalangan rakyat dengan menyediakan tempat membaca serta kemudahan memperoleh bahan-bahan bacaan. "Oleh itu, sama-samalah kita hargai dan kunjungi perpustakaan untuk tambah ilmu pengetahuan dan janganlah kita memandang perpustakaan sebagai satu tempat yang membosankan tetapi hargailah semua koleksi di setiap ruang perpustakaan yang begitu bernilai, berharga dan akan menjadi khazanah kelak," titah baginda sewaktu menyempurnakan Hari Ilmu dan gerakan Membaca Perdana di Taman Tasik Shah Alam, hari ini. Baginda juga berhasrat melihat rakyat Selangor terus berusaha untuk mendapatkan ilmu pengetahuan yang tinggi dan berguna serta berharap gunakanlah ilmu pengetahuan itu untuk kebaikan diri sendiri dan kesejahteraan rakyat dan bukan disalahgunakan untuk memusnahkan masyarakat serta merosakkan negeri ini. Sulta Sharafuddin berharap hasrat kerajaan negeri menjadikan Selangor sebagai sebuah negeri maju, idaman, sejahtera dan berkebajikan akan dapat dicapai sebaiknya dengan melaksanakan segala perancangan yang dibuat. Seramai 14,718 peserta terdiri daripada pelajar, pemimpin masyarakat, organisasi kerajaan dan orang awam menyertai program bersantai sambil membaca buku secara serentak di sekitar Taman Tasik di sini selama sejam dan program itu turut mendapat pengiktirafan sebagai Largest Outdoor Reading Event in Malaysia daripada Malaysia Book of Records. Sementara itu, Exco Kerajaan Selangor, Dr Halimah Ali berkata, Pesta Buku Negeri Selangor 2010 merupakan penganjuran kali kelima oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) bersama Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor berharap seramai 450,000 pengunjung pada tahun ini berbanding 390,000 pengunjung pada tahun lepas. Terdapat 114 gerai yang menyediakan berbagai bahan bacaan menarik dan terkini selain potongan harga istimewa kepada pengunjung yang berlangsung selama 11 hari bermula 25 Jun di Kompleks PKNS di sini yang bertemakan Jom Membaca Di mana-mana. Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim turut berucap di dalam majlis itu yang disifatkan beliau sebagai sangat syahdu memandangkan kehadiran orang ramai sejak jam 7 pagi lagi dan semuanya boleh duduk dengan selesa. “Kita boleh bersatu dengan ilmu, berada dalam aman dan boleh melakukan sesuatu demi kebaikan kepada rakyat,” tegas beliau. |
HALAMAN SANTAI
Ahad, 27 Jun 2010
Hari Ilmu, Gerakan Membaca jadikan Selangor pusat cari ilmu
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan