HALAMAN SANTAI

Selasa, 29 Jun 2010

Lesen judi: Vincent Tan bagai meludah ke langit

Nazri Abdullah


KUALA LUMPUR: Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) berpendapat Tan Sri Vincent Tan seperti meludah ke langit, jatuh ke muka sendiri apabila mendakwa Pakatan Rakyat (PR) dan bookie haram penyebab kepada penarikan balik lesen judi syarikatnya, Ascot Sports.

Setiausaha GMJ, Suhaizan Kaiat (gambar) berkata, Vincent Tan seharusnya sedar bahawa lambakan bookie haram adalah disebabkan rakyat ketagih judi di samping penguatkuasaan yang lemah.

Ketagihan judi ini, katanya ekoran syarikat judi yang diberi lesen oleh kerajaan memberi peluang kepada rakyat berjudi dan menyebabkan mereka ketagih judi.

"Ini bermaksud salah satu punca kehadiran bookie haram itu sendiri berpunca daripada aktiviti judi yang dihalalkan oleh kerajaan.

"Oleh kerana Syarikat Berjaya mempunyai pelaburan judi yang besar, maka tuduhan Vincent Tan itu bagaikan meludah ke langit," katanya yang juga Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat.

Vincent Tan, jelasnya harus melihat kehendak rakyat khususnya anak muda Malaysia sudah berubah dengan menolak rasuah, penyalahgunaan kuasa, pembaziran, perjudian dan lain-lain lagi.

Oleh itu katanya, pelaburan Syarikat Berjaya dalam perjudian sudah tidak sesuai di Malaysia pada masa kini dan akan datang.

Dalam pada itu, GMJ ujarnya akan meneruskan kempen tahap kedua iaitu "Kempen Tak Nak Judi" ke seluruh negara bagi mendesak kerajaan melaksanakan tiga perkara iaitu mendidik masyarakat membenci judi, memperketatkan penguatkuasaan undang-undang judi dan mengurangkan lesen judi.

"Kempen Tak Nak Judi akan dilancarkan pada 3 Julai 2010 pukul 2 petang di Masjid Negara.

"Semua rakyat Malaysia yang mahu melihat negara ini bebas daripada judi dijemput hadir," katanya.

Tiada ulasan: