HALAMAN SANTAI

Selasa, 29 Jun 2010

Muis cadang sesi sekolah petang ditamat awal bulan Ramadan

SABAH DAILY


TAWAU - Pengerusi Majlis Ugama Islam Sabah (Muis), Datuk Syed Abas Syed Ali mencadangkan kepada kerajaan supaya sesi persekolahan petang di Sabah ditamatkan lebih awal pada bulan Ramadan bagi membolehkan pelajar dan ibubapa menjalani ibadah puasa dengan selesa.

Syed Abas berkata ada sesetengah kawasan di Sabah, khususnya di Pantai Timur negeri itu yang waktu berbukanya ialah kira-kira 5.48 petang namun persekolahan sesi petang biasanya cuma selesai pada jam 6 petang.

Katanya ramai pelajar sekolah sesi petang di Sabah terpaksa berbuka di sekolah dengan hanya memakan gula-gula kerana sesi persekolahan mereka belum selesai.

“Di Sabah, ini bukan masalah kecil tetapi masalah besar. Jadi saya minta kerajaan supaya membenarkan pelajar pulang lebih awal dengan masa tersebut dipotong daripada masa rehat. Maknanya sesi pembelajaran pada masa rehat diteruskan,” katanya. Ataupun katanya masa persekolahan yang diambil untuk membolehkan pelajar balik awal pada bulan berkenaan digantikan pada hari Sabtu bulan yang lain.

Beliau berkata sekiranya waktu balik bekerja ibu bapa diawalkan sejam iaitu kira-kira 4.30 petang manakala sesi persekolahan berakhir pada jam 5 petang pada bulan Ramadan ibu bapa dan anak-anak mereka akan dapat berbuka puasa dan melaksanakan ibadah lain bersama-sama.

“Saya sudah bercakap berkenaan perkara ini berulang kali. Saya rasa kerajaan perlu lakukan ini. Selaku pengerusi Muis, kita berilah penghormatan kepada agama (Islam),” katanya.

Syed Abas yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Balung berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Mini Ekspo Kerjaya dan Latihan anjuran Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja Sabah di Kampung Blok 31, di sini kelmarin.

Mengenai isu Sungai Balung yang tercemar disebabkan penyaluran bahan kotoran dari sebuah pusat ternakan babi berhampiran, Syed Abas berharap pihak Majlis Perbandaran Tawau dapat mengambil tindakan memindahkan kawasan ternakan itu ke tempat lain.

Katanya lokasi kandang babi berkenaan tidak sesuai di kawasan itu kerana ramai penduduk kampung masih menggunakan sumber air dari Sungai Balung untuk aktiviti harian mereka. -NST

Tiada ulasan: