HALAMAN SANTAI

Sabtu, 26 Jun 2010

Perkasa bukan penghalang 1Malaysia, kata Ibrahim Ali

FREE MALAYSIA TODAY


Ibrahim Ali PASIR MAS: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menafikan dakwaan Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin bahawa pendekatan Perkasa merupakan penghalang kepada semangat 1Malaysia.

Presidennya Datuk Ibrahim Ali berkata Perkasa adalah pertubuhan yang membela bangsa Melayu dan bukannya pertubuhan rasis yang menyemai sikap bencikan bangsa lain.

"Teguran Perkasa terhadap beberapa isu seperti yang terbaru bersabit kenyataan Ketua Pemuda MCA Datuk Dr Wee Ka Siong sepatutnya tidak disalah anggap sebagai kami penyebab penghalang semangat 1Malaysia ini," katanya kepada pemberita.

Wee dikritik Perkasa kerana membangkitkan isu pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada Bumiputera.

Ibrahim yang juga Anggota Parlimen Bebas Pasir Mas berkata banyak isu menyentuh bangsa Melayu kini dan Perkasa bertanggungjawab mempertahankan mereka seperti yang termaktub dalam Perlembagaan negara.

Beliau berkata Pemuda Umno juga wajar bersama-sama Perkasa dalam mempertahankan soal berkaitan bangsa Melayu dan bukannya menambah perasaan marah dan menghamburkannya kepada Perkasa.

Sementara itu, Ibrahim menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kerajaan tidak akan mengeluarkan lesen pertaruhan sukan kepada Ascot Sports Sdn Bhd atas pertimbangan agama dan kesan politik.

Ibrahim menyifatkan tindakan Najib itu sebagai tepat dan telah mematikan hujah pembangkang terhadap isu itu.

Beliau kemudiannya mencabar PAS agar bersuara untuk menamatkan lesen judi di negeri yang diperintah pembangkang ketika ini.

Tiada ulasan: