HALAMAN SANTAI

Sabtu, 26 Jun 2010

Ramai Rakyat Malaysia Ditipu Tukang Tilik

BERNAMA

Walaupun media sering membuat pendedahan tentang kelicikan tukang tilik palsu, namun masih banyak rakyat Malaysia yang tidak mengendahkan perkara itu dan akibatnya semakin ramai daripada mereka
menjadi mangsa golongan tersebut.

Kaji selidik Universiti Malaya (UM) yang melibatkan 300 penduduk bandar keturunan India mendapati perbuatan mereka mendapatkan khidmat penilik nasib adalah tindakan sia-sia.

"Sekurang-kurangnya separuh daripada responden berkata mereka ditipu oleh manusia yang menyamar sebagai ahli kerohanian, manakala selebihnya berkata menilik nasib ada kebaikannya kerana runding cara yang diterima boleh dijadikan panduan untuk mencorakkan kehidupan mereka," kata pensyarah kanan di Jabatan Pengajian India UM Dr G. Sivabalan kepada Bernama di luar Persidangan Klasik
Tamil Sedunia.

Kaji selidik pada tahun 2008-2009 itu memberi tumpuan terhadap kaedah bertenung nasib "Nadi astrology" yang terkenal dalam kalangan penganut agama Hindu.

Melalui kaedah ini, penilik nasib akan menilik apa yang berlaku pada masa lepas, masa kini dan masa akan datang terhadap seseorang dengan melihat tapak tangannya berpandukan teks kuno yang tertulis pada daun.

Sivabalan berkata menilik nasib dengan menggunakan cara ini begitu popular pada akhir 1980-an selepas berpuluh orang yang mengaku sebagai tukang tilik dari India selatan datang ke Malaysia untuk mencari rezeki secara mudah dengan berbekalkan berjilid-jilid helai palma.

Kaji selidik itu mendapati bahawa setakat ini, kira-kira 50,000 orang mendapatkan khidmat tukang tilik berkenaan, dengan kebanyakan mereka terdiri daripada golongan profesional keturunan India yang begitu ghairah untuk mengejar kecemerlangan dalam kehidupan.

Kaji selidik yang dijalankan di Johor, Lembah Klang dan Perak itu juga mendapati bahawa secara purata, setiap mereka yang menggunakan khidmat penilik nasib ini membelanjakan hampir RM1,000 bagi mengetahui nasib mereka pada masa akan datang.

Sivabalan berkata UM merancang untuk menubuhkan pusat pengajian manuskrip Tamil helai palma dengan kerjasama Persatuan Penulis Tamil Malaysia dan berharap dapat mengumpul helai palma yang terdapat di Malaysia sejak 1890-an yang mengandungi preskripsi "Siddha" bagi merawat penyakit.

UM juga, kata beliau, bercadang mengadakan kerjasama dengan Tanjavur Tamil University dari Selatan India bagi melatih rakyat Malaysia dalam subjek itu.

Tiada ulasan: