SEREMBAN: Seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan dijumpai ditinggalkan di atas tong sampah di sebuah rumah teres satu tingkat di Taman Sri Pulai 3, Sikamat dekat sini, petang ini.
Jurucakap polis berkata bayi yang masih hidup dan lengkap berpakaian itu dijumpai oleh seorang pekerja syarikat pelupusan sisa, Southern Waste Managment (SWM), pada kira-kira pukul 4.20 petang.
Katanya pekerja terbabit sedang memungut sampah di kawasan taman perumahan itu apabila terserempak dengan bayi itu lalu dia menghubungi polis.
Katanya polis kemudian membawa bayi itu ke Hospital Tuanku Ja'afar di sini untuk pemeriksaan.
"Setakat ini polis tidak mendapat sebarang maklumat mengenai bayi itu dan akan merujuk bayi itu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk tindakan susulan," katanya.
Justeru itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. -
Tiada ulasan:
Catat Ulasan