PETALING JAYA: Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengarahkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Rakyat dari PKR memberi keterangan petang ini didakwa bermotifkan politik.
ADUN Sri Muda, Suhaimi Shafie mendakwa, ia bertujuan untuk mengeruhkan keadaan dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor memandangkan beliau tidak mengetahui sebab-sebab beliau dipanggil.
Malah beliau tidak menolak kemungkinan tangkapan akan dibuat kerana ia diluar jangkaannya.
"Saya tidak tahu mengapa saya dipanggil, tetapi saya akan hadir petang ini. Malah saya rasa mungkin ada tangkapan..ia tidak boleh dijangka.
"Inilah siri kedua dilakukan oleh konco-konco Umno untuk memperalatkan SPRM dan memberi gambarkan buruk bahawa ahli-ahli politik dari gagasan Pakatan Rakyat tidak putus-putus menerima aduan.
"Saya tidak menyangkal kemungkinan SPRM diperalatkan untuk menjayakan agenda jahat Umno-Barisan Nasional untuk merampas kuasa pentadbiran Selangor.
Namun saya berkeyakinan penuh tiada kesalahan yang dapat mengaitkan saya," katanya ketika dihubungi Free Malaysia Today, hari ini.
Selain Shafie, ADUN Batu Caves, Amirudin Shari turut dipanggil memberi keterangan pada jam 3.00 petang ini di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
Surat dikeluarkan SPRM itu diserahkan kepada mereka berdua pada Isnin lalu yang mengarahkan kedua-dua mereka untuk bantu siasatan di bawah Seksyen 17(A) Akta SPRM.
Menurut Amirudin, beliau juga tidak menolak dakwaan bahawa motif SPRM memanggil beliau ekoran spekulasi dirinya akan meninggalkan parti PKR baru-baru ini.
Namun Amirudin tetap yakin bahawa beliau tidak melakukan sebarang kesalahan yang dapat mensabitkannya.
"Mungkin arahan SPRM ini selari dengan spekulasi bahawa saya adalah di antara empat ADUN yang bakal meninggalkan PKR baru-baru ini.
"Saya tetap yakin saya tidak melakukan sebarang kesalahan dan saya telah berbincang dengan peguam sebagai persediaan untuk esok," katanya kepada Free Malaysia Today.
Suhaimi dan Amirudin masing-masing akan diwakili peguam Salim Bashir dan Imran Hazli.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan