HALAMAN SANTAI

Jumaat, 23 Julai 2010

Balu bekas SU AMK terima sumbangan

Hazayani Zakaria

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyifatkan pemergian bekas Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat, Hasmuzair Hassan sebagai hilangnya seorang pejuang reformasi yang begitu komited terhadap tanggungjawab yang diamanahkan.

Beliau berkata demikian sewaktu mengadakan pertemuan dengan balu allahyarham, Nazylinda Abdullah, 29, di Pejabat Menteri Besar, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz (SAAS) di sini, semalam.

Pada majlis minum petang itu, Khalid menyerahkan sumbangan peribadi kepada Nazylinda bagi meringankan beban yang ditanggungnya.

"Sumbangan ini tidak seberapa berbanding kesedihan yang dialami keluarga allahyarham tetapi kita berharap ia mampu mengurangkan beban Nazylinda yang menjadi ketua keluarga selepas ini," katanya selaku mantan Pengerusi Perhubungan PKR Selangor.

Khalid juga berjanji akan meminta pertolongan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak untuk membantu Nazylinda mendapatkan pekerjaan di negeri kelahirannya di Kedah.

Beliau berkata, ketiga-tiga anak Nazylinda lahir dan didaftarkan di Kedah dan sudah tentu layak menerima bantuan dari Kerajaan Kedah.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan Nazylinda supaya bersabar dan menerima kejadian ini dengan redha.

Hadir sama, Ketua AMK Pusat, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Hasmuzair, 33, meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya yang melibatkan sebuah lori di Kampung Subang, 17 Julai lalu.

Beliau meninggalkan isteri dan tiga orang anak, Nazzratul Alya, 6, Hasrul Alif, 5, dan Hasrul Afiq, satu setengah tahun.

Tiada ulasan: