Wakil Rakyat sepatutnya menimbulkan cadangan yang bernas mengenai dasar negara dan berani mengkritik keputusan Kerajaan. Itulah tugas dan tanggungjawab yang sepatutnya dipikul oleh seorang Yang Berhormat. Lebih-lebih lagi kalau kita itu wakil rakyat "Bebas" yang begitu digemari oleh PM Najib Razak. Kenalah jaga standard supaya orang tak mengatakan kita ini budak suruhan semata-mata, dan tidak ada modal bernas untuk diketengahkan dalam Dewan.
Jadi saya hairan mengapa pertemuan saya dengan Raja Petra di Manchester tahun lalu menjadi isu kepada wakil rakyat Bayan Baru (gambar kiri) ini. Dia sudah semacam menjadi wakil Special Branch bangga dengan pendedahannya yang saya duduk di Hotel Britannia bersama dengan Raja Petra di Manchester tahun lalu. Dia kata SPRM (Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia) kena siasat pertemuan ini. Inilah kerja Wakil Rakyat pro-BN kita hari ini. Tak ada perkara lain nak ditimbulkan. Kalau dia tanya saya, saya akan beritahu lebih dari itu. Jumpa Raja Petra tidak salah wahai YB. YB pun boleh ke rumahnya di Manchester.
Raja Petra (gambar kanan) dan isterinya Marina kawan saya. Saya tak tinggalkan kawan semata-mata kawan ada dalam kesusahan. Jadi setiap kali saya ke London, saya jumpa mereka. Tahun lepas saya bawa Petra tengok bolasepak di Old Trattford; dia minat kepada Manchester United. Jadi saya belanjalah dia. Itulah sedikit hiburan baginya yang terpaksa meninggalkan tanah air kerana menuntut kebenaran. Perjuangan seperti Petra mungkin YB Bayan Baru kita itu tak mengerti atau faham.
Memang dia booking Hotel itu untuk saya, tapi tak benar dia tinggal di situ kerana rumah mereka hanya 15 minit dari situ. Hotel yang saya menginap itu pun tiga bintang, taklah saperti hotel Zahrain guna semasa ke Washington. Maklumlah saya bayar sendiri. Minggu depan saya akan ke London dan insyaallah akan bertemu Marina dan Petra. Saya akan bekalkan butir lanjut jika Zahrain atau SPRM mahu maklumat lain. Saya harap dapat juga bertemu Bala kalau SPRM tidak mahu bertemu dengannya.
*Tulisan ini dipetik dan disunting daripada blog Zaid Ibrahim, bekas Menteri Jabatan Perdana Menteri yang kini menyertai Pakatan Rakyat. Zaid Ibrahim kini sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan