HALAMAN SANTAI

Jumaat, 6 Ogos 2010

Ahmad: Siapa kata saya merajuk?

Abdul Rahim Sabri

Bekas ketua Umno bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail menegaskan bahawa keputusannya untuk tidak berpolitik selama setahun bukan kerana merajuk dan dipaksa oleh pucuk pimpinan parti.

"Siapa kata saya merajuk...Tiada istilah merajuk dalam perjuangan saya," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Sepanjang tempoh tersebut, katanya, beliau akan memberi tumpuan khusus kepada usaha memperbaiki sukan sepak takraw negara. Beliau adalah presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia.

Ahmad berkata, sepanjang tempoh tersebut juga, beliau akan memberi perhatian terhadap persediaan pasukan Malaysia yang bakal menyertai Sukan Asia November ini dan Sukan Sea di Jakarta, tahun depan.

Jelasnya, beliau yakin dengan kepimpinan baru yang akan dipilih dalam mesyuarat perwakilan bahagian Ahad ini walaupun ia telah dua kali ditangguhkan - pada 11 dan 31 Julai lalu.

Semalam, Ahmad mengumumkan beliau tidak jadi bertanding jawatan ketua Umno bahagian berkenaan seperti yang dirancang sebelum ini.

Ini kerana beliau tidak mahu dianggap penghalang kepada usaha BN mengembalikan sokongan rakyat serta membolehkan dua parti komponennya, MCA dan Gerakan memenangi semula sokongan masyarakat Cina.

Mac lalu, kesemua 36 ahli jawatankuasa bahagian itu meletak jawatan bagi memberi laluan kepada Ahmad mengetuai semula bahagian tersebut - langkah yang dikatakan tidak dipersetujui oleh Gerakan.

Pada September 2008, Ahmad digantung keahliannya dan dilucutkan hak-haknya dalam parti selama tiga tahun ekoran didakwa membuat kenyataan yang berbaur perkauman terhadap masyarakat Cina.

Bagaimanapun pada Disember tahun lalu, Majlis Tertinggi (MT) mengambil keputusan untuk menarik semula penggantungan itu.

Menjawab soalan, Ahmad menolak dakwaan beliau dipaksa atau diarahkan mengundur diri setelah bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak beberapa kali sebelum ini.

"Tidak ada sesiapa yang paksa. Malah saya minta maaf kepada perdana menteri dan pengerusi badan perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana tidak sempat memberitahu mereka tentang keputusan ini," katanya.

Bagaimanapun, beliau hanya memaklumkan keputusannya itu kepada setiausaha Umno negeri, Datuk Azhar Ibrahim.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata pertemuan beliau dengan Najib yang juga presiden Umno berkaitan dengan usaha perdana menteri "membawa perpaduan di kalangan rakyat"

"Saya lihat beliau bekerja kuat. Saya anggap ia agenda paling mustahak (kepada perdana menteri)," katanya.

Tiada ulasan: