HALAMAN SANTAI

Sabtu, 21 Ogos 2010

Arjunan beri polis keterangan aduan terhadap Saravanan

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Ahli politik PKR MS Arjunan menemui polis di Seremban petang ini, tetapi menegaskan tidak akan memberi apa-apa keterangan berhubung aduan terhadap Naib Presiden MIC Datuk M. Saravanan, selepas ini.

Ketika dihubungi, Arjunan berkata termasuk hari ini dia telah tiga kali memberi keterangan kepada polis walaupun Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan kelmarin mendakwanya tidak memberi kerjasama dalam proses siasatan.

“Hari ini saya memberikan keterangan lebih sejam di IPK Negeri Sembilan di Seremban, saya rasa sudah cukup untuk mereka menjalankan siasatan... selepas ini saya tidak akan memberi apa-apa keterangan walaupun dipanggil (oleh polis).

“Saya memberitahu polis bahawa jika ada apa-apa yang perlu dijelaskan, saya akan hadir di mahkamah nanti, akan dijelaskan di mahkamah... saya ada banyak kerja, saya tidak boleh asyik pergi jumpa polis setiap kali dipanggil,” katanya lagi.

“Saya diminta datang ke IPK di Seremban semalam tetapi saya sibuk tapi pergi hari ini, berada di IPK antara 1.30 tengah hari dan 3 petang tadi,” katanya.

Arjunan juga telah memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Negeri Sembilan Selasa lalu.

Arjunan berkata dia juga hairan dengan tindakan polis mahu mengambil keterangan daripada mereka yang mengiringinya ke IPK.

“Saya merasakan ini tindakan mahu menakutkan saya dan penyokong saya, seolah-olah ada yang tidak kena,” katanya.

Dia juga mendakwa pihak polis di IPK enggan mengesahkan dokumen mengenai kehadirannya di IPK Negeri Seremban.

“Saya minta polis membuat pengesahan kehadiran saya memandangkan Ketua Polis Negara mendakwa saya tidak beri kerjasama kepada polis, tetapi mereka kata tidak boleh atas alasan cukup setakat ada diambil nota (oleh polis),” katanya.

Arjunan membuat laporan polis semalam selepas mendakwa menerima ugutan bunuh menerusi satu panggilan telefon petang kelmarin.

Arjunan yang masih mendakwa dirinya Setiausaha PKR Ipoh Barat membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields di sini semalam kerana khuatir terjadi sebarang perkara yang tidak diingini terhadap diri dan anggota keluarganya.

Sabtu lepas, Arjunan membuat laporan polis terhadap Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahterana Bandar mendakwa beliau terlibat dalam kegiatan tidak bermoral seperti pelacuran dan gangsterisme di Brickfields.

Beliau mendakwa mempunyai bukti kukuh terhadap dakwaannya itu namun ia diberikan kepada peguamnya untuk didedahkan setelah kes tersebut dibawa ke mahkamah.

Kelmarin, Musa melahirkan rasa kesal dengan sikap Arjunan yang enggan memberi kerjasama dan menyembunyikan bukti berkenaan dakwaannya terhadap timbalan menteri itu.

Beliau berkata sikap Arjunan hanya akan melewatkan proses siasatan yang sedang dilakukan.

Ditanya mengenai dakwaan wujudnya 39 aduan polis ke atasnya, Arjunan berkata, dia tidak tahu perkara itu.

“Jika ada sudah tentu polis telah menyiasat saya,” katanya.

Tiada ulasan: