HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 Ogos 2010

Buang bayi sudah jadi krisis nasional

Oleh Dr Dzulkifli Ahmad

Berdepan dengan gejala pembuangan bayi dan anak-luar nikah yang telah sampai ke paras satu kemelut dan krisis, semua pihak mesti hentikan menuding jari terhadap satu sama lain. Statistik dan insiden sudah layak di berikan status ‘krisis nasional’ sebelum ia lebih parah lagi.

Setakat tahun ini sebanyak 65 bayi yang dibuang di serata tempat, tidak termasuk 14 janin yang dijumpai. Tahun lalu 79. Ini menjadikan jumlah statistik pembuangan bayi yang dilaporkan sejak 2005 sebnyak 472. Berapa banyak pula yang tidak dilaporkan hanya Allah sahaja yang tahu.

Sesungguhnya, penularan gejala ini membayangkan kegagalan seluruh institusi kawalan dan sistem penguatkausaan pihak berwajib.Ia juga mencerminkan bagaimana kepincangan institusi keluarga dan kejiranan serta keculasan pemantauan rangkaian agama dan peranan moral dan etik yang sewajarnya bermula di peringkat akar umbi sehingga ke peringkat Pusat.

Pengurusan krisis ini memerlukan satu pendekatan penyelesaian yang tidak mampu dilakukan secara beruncit-runcit dan serpihan. Kini, ia jelas telah mencetuskan pelbagai reaksi emotif dan kadangkali agresif lantas melibat perundangan dan hukuman.

Itu reaksi lazim dan konservatif terhadap semua gejala krisis. Namun satu pendekatan lebih berkesan perlu disegerakan melibatkan satu ‘pasukan’ yang mempunyai satu rangkaian seluruh negara (yang sedia ada) digerakkan segera dengan sejumlah dana yang menasabah untuk mampu ditanganni secara berkesan dan berterusan.

Sehingga kini belum ada satu badan dari mana kementerian ditubuh dan ditetapkan secara lebih terfokas.

Disaran bahawa semua pihak (khususnya pihak berwajib di semua peringkat – dari akar umbi pimpinan kampung, daerah, jabatan-jabatan negeri dan pusat)

Bersedia mengakui kewujudan gejala tersebut telah sampai ke peringkat yang parah dan darurat lantas perlu diiktiraf segera sebagai ‘krisis nasional’ yang memerlukan pelan tindakan menyeluruh menggembleng tenaga semua pihak.

Bersedia mengakui bahawa gejala ini telah tercetus akibat pelbagai faktor (multi-factorial) yang bertindak serentak, mengakibat golongan pelaku berisiko tinggi (remaja dan pelajar sekolah) tergalak dan termangkin melakukanya, sehingga kadar kejadian melonjak ke aras endemik.

Bersedia mengiktiraf bahawa antara faktor yang telah mencetuskan gejala yang bertindak tanpa sebarang kekangan untuk satu jangka waktu yang lama (tahap inkubasinya) ialah antara lainnya:

i. Pendidikan agama dan bimbingan etik-moral yang longgar.
ii. Pengetahuan seksualiti dan pendedahan akibat zina yang dangkal.
iii. Kebebasan pergaulan tanpa batasan waktu dan tempat. (setting dan iklim)
iv. Pendedahan bahan lucah, porno dan seks tanpa batas.
v. Pengawasan dan pemantauan ibubapa dan keluarga yang sangat ringan.
vi. Persekolahan yang tidak menumpu kepada persoalan ‘keutuhan jatidiri’ dan integriti maruah diri personaliti pelajar.
vii. Peranan pihak berwajib yang terlalu bersifat ’reaktif-legal-punitif’ (menghukum reaktif) dan tidak ’proaktif-developmental’ (membina dan membentuk secara proaktif).

Dengan itu maka, wajar dan wajib disegerakan beberapa langkah yang bersepadu dan menyeluruh sekaligus menangani pendekatan dalam 2 pendekatan:
1.’Mencari dan Menyelamat’ secara ‘intervensi’.
2. ’Mendidik dan Mencegah’ secara proaktif dan ’preventif’.

Bagi menjayakan kedua-dua pendekatan ini, kita perlu penggemblengan semua pihak. Paling menasabah Kementerian Kebajikan bergandingan Pelajaran mesti mengambil tanggungjawab utama.

Ada pun disudut perlaksanaan, Pusat wajar bekerjasama dengan pihak Kerajaan Negeri. Sejumlah dana yang menasabah mesti diperuntukan bagi melaksanakan usaha ini secara lebih bersungguh dan berkesan termasuk mengadakan personal penuh masa.

Di peringkat perlaksaan di negeri dan daerah, penglibatan pihak-pihak di bawah ini adalah penting, antaranya:

i. Ketua Kampong, JKKK dan Penghulu Mukim.
ii. Imam dan Nazir Masjid
iii. JAIS
iv. Pejabat Daerah
v. PBT – YDP, Dato’ Bandar.
vi. Jabatan Pelajaran
vii. Kebajikan
viii. Kesihatan
ix. PDRM
x. JAIS
xi. PIBG
xii. Media

1.0 Langkah ’Mencari dan Menyelamat’ – Intervensi.

Matlamat langkah ini adalah untuk mewujudkan satu ’pengkalan data’bagi mengenalpasti statistik mereka yang ’hamil’ dalam apa jua peringkat kehamilan. Justeru kerana ianya susah hendak dikesani dan tambahan dengan sebutan bahawa ia juga mahu dihukum dengan undang-undang maka akan bertambah ’ketakutan’ bagi mereka yang telah terlajak ini untuk membuat laporan secara sukarela dan telus.

Maka wajar untuk mencapai matlamat ini, bahawa ia perlu dilakukan oleh beberapa pihak yang dikenalpasti dari senarai di atas dan dilakukan secara sulit (confidential) dan rahsia.

Keyakinan itu penting dan mereka yang terlibat mesti diberi keyakinan bahawa pihak yang membantu ini mempunyai tujuan yang baik dan komited utk membantu. Satu jangka waktu perlu diberikan untuk usaha mencari dan menyelamat ini dijalankan dan tidak seharusnya untuk samapai bila-bila semacam memberikan galakan kepada bakal pelaku.

Ada pun bagi menangani seterusnya kes-kes kehamilan di sekolah, kolej dan universiti, mesti ada lanhgkah-langkah yang dispakti oleh pelbagai pihak. Di sini pelbagai kaedah boleh dipertimbangkan dengan teliti di segi baik-buruknya. Bergantung keupayaan dana dan personal, pelbagai cara boleh difikirkan bagi menampong keperluan yang mendesak dan kritikal ini.

Jangan ada yang mudah-mudah membuat sebarang kecaman sebelum benar-benar menyelami baik-buruk setiap cadangan yang dimajukan termasuk sekolah pelajar hamil dll. Sayugia diingatkan bahawa kita mahu menyelesaikan masalah ini. Kita tidak terus-menerus menangani masalah ini seperti gejala dadah dan AADK. Satu time-line perlaksanaan perlu dibuat bagi menetapkan KPI tugasan ini.

2.0 ’Mendidik dan Mencegah’ secara proaktif dan ’preventif’.

Langkah kedua ini mesti tangani dengan konsisten dan komited kerana di segi jangka panjang, langkah ini yang lebih berkesan untuk menangani fenomena ini sekaliguys mengelakkan ia terus berlaku. Namun perlu ada kata sepakat dalam menyipakan modul dan cara bahan-bahan ini disebarkan termasuk menjadikan ia sebahagian dari kurikulum pendidikan sekolah menengah rendah dan menengah mahupun memulakan ia dari peringkat rendah lagi.

Yang lebih penting bukan nama kursus atau modulnya itu sebagai ”Pendidikan Seks’ yang penting. Lebih mustahak adalah mengenalpasti pengisian, bahan dan pendekatan bantu-mengajarnya.

Pendekatan mengenalkan pelajaran ’seksualiti’ mungkin lebih baik dari ’seks’. Seksualiti lebih menekankan aspek perhubungan disegi aspek psikososial, emosi dan psikologi, lebih dari aspek ’biologi-fisiologi reproduktif’. Dalam pada itu aspek agama dan moral serta etika dan kesopanan dalam perhubungan antara individu berlainan jantina perlu ditegaskan bagi melahirkan perhubungan dan budaya sihat dalam interaksi dalam pelbagai ’setting’ penglibatan formal mahupun tidak formal.

Penegasan seperti ini yang sangat-sangat dihajati oleh sebuah negara-bangsa yang mahu memacu kemodenan serta tahap kemajuan semnentara tidak mahu kehilangan jatidiri bangsa, agama dan budayanya.

Penglibatan semua pihak di atas termsuk pemilik media dll, adalah kritikal dan penting untuk menjayakan usaha ini sebagai satu pendekatan ’Total Solution’ – Rawatan Menyeluruh. Jangka jauh adalah keperluan untuk menyemak bahkan meminda aspek perundangan dan hukuman. Usaha yang ditampilkan kerajaan negeri Selangor di bawah portfolio EXCO modal insannya adalah satu model yang baik untuk di menafaatkan pelbagai pihak.

Kerjasama dengan pihak Kementerian di peringkat Pusat akan melipatgandakan keberkesanan menangani gejala ini.

9 ulasan:

zam berkata...

kes buang bayi menjadi-jadi pada masa kini. semua pihak perlu bekerjasama dalam menangani isu ini. diakui memang banyak faktor yang menyumbang kepada gejala ini, namun ia sepatutnya boleh dicegah. ibu bapa perlu memberikan pendidikan agama kepada anak-anak. peranan ibu bapa amat besar kerana mereka lah yang paling dekat dengan anak-anak yang merupakan golongan muda.

Tanpa Nama berkata...

kes buang bayi dan zina harus dibendung. ia semakin serius pada masa kini. semua pihak harus ambil peranan dalam hal ini. jika tak, ia akan merosakkan akhlak masyarakat kita.

Sanih Alias berkata...

perkara ini semakin bertambah menjadi-jadi. harap kerajaan dan semua pihak harus bersama-sama untuk menangani isu ini.

Tanpa Nama berkata...

Ibubapa: Jadilah ibubapa yang baik dan bertanggungjawab.

Remaja: Sedarlah hidup di zaman remaja hanya sementara.

para pendidik: Didikan agama, sosial, moral diakui penting tetapi perlu diberi secara hikmah.

Media: anda bertanggungjawab atas apa yang anda sebarkan.

Blogger,internet user: jangan berterusan dengan pornografi anda.

Kerajaan: Dasar anda penting.

Unknown berkata...

Perbuatan zina adalah punca kepada kes buang bayi. Tetapi apakah punca "utama" kepada perbuatan zina??? Semua orang harus main peranan untuk membendungkan masalah ini.

Paquin berkata...

Tak perlu tunding jari. Yang penting sekarang ni ialah cari jalan penyelesaian!!

Paquin berkata...

Kesedaran harus timbul dalam diri setiap individu agar tahu bertanggungjawab terhadap perbuatan diri sendiri. Jangan berani buat tapi tak berani tanggung! kesian bayi yang tak berdosa jadi mangsa... :(

POP berkata...

Kes ini memang tidak dapat dikawal lagi...harap dapat menyelesaikannya.

Anak Sabah berkata...

Perkara ini harus diselesaikan dengan cara yang berkesan. Kita perlu mengenal pasti dahulu punca masalah ini dan mengambil tindakan yang berpatutan. Jangan membenarkan perkara ini melarat.