KUALA LUMPUR — Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata kerajaan tidak harus bertolak ansur dalam isu larangan penggunaan kalimah “Allah” meskipun Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein melahirkan rasa kesal dengan isu berkenaan semalam.
Jamil Khir yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama Islam berkata isu berkenaan mesti diselesaikan menerusi proses perundangan.
“Kami sedang menunggu keputusan mahkamah kerana kami tidak mahu apa-apa persepsi orang ramai yang akan menyukarkan dalam proses membuat penilaian yang betul dan konsisten dalam penjelasan kami.
“Jadi kami menunggu mahkamah untuk menyelesaikan isu ini,” kata Jamil Khir (gambar) kepada pemberita selepas menghadiri sesi bertemu rakyat di Masjid Muadz Bin Jabal Mosque di Setiawanga di sini.
Semalam Hishammuddin berkata Menteri Dalam Negeri sebelumnya tidak sewajarnya mengharamkan penggunaan kalimah “Allah” oleh gereja Katolik dan menambah, keputusan itu akan terus merunsingkan kementeriannya untuk tempoh yang agak lama.
Katanya, pendekatan kementeriannya ialah mengambil penyelesaian terbaik membabitkan semua.
Beliau berpendapat bahawa perkara itu seharusnya telah dibiarkan seperti sedia ada, tetapi dicetuskan oleh mereka yang percaya bahawa perkataan “Allah” tidak harus digunakan di Sabah dan Sarawak.
Awal hari ini MCA mengeluarkan kenyataaan meminta Hishammuddin agar menggunakan kuasanya untuk mengetepikan pengharaman itu dan Barisan Nasional (BN) harus membatalkan keputusan itu yang memecahbelahkan lagi masyarakat.
Bekas Menteri Dalam Negeri Tan Sri Syed Hamid Albar telah mengenakan larangan penggunaan kalimah “Allah” oleh akhbar Herald terbitan gereja Katolik dua tahun lalu.
Penasihat DAP Lim Kit Siang menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar menyelesaikan pertikaian yang berterusan ini di luar mahkamah dan langkah menggugurkan rayuan akan memperlihatkan keseriusan kerajaan menyelesaikan isu ini menerusi dialog antara agama.
Bagaimanapun Jamil Khir enggan mengulas kenyataan Hishammuddin itu tetapi berkata beliau akan bertemu dengan rakan sejawatannya berhubung isu berkenaan.
Terdahulu laporan Bernama menyebut, ketika merasmikan Seminar Pegawai Masjid Felda yang disertai kira-kira 1,000 imam dari 260 masjid Felda di seluruh negara, Jamil Khir menegur sesetengah imam di negara ini yang galak mengejar populariti dengan menjadikan masjid tempat berpolitik.
Beliau berkata perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana masjid adalah pusat penyatuan ummah dan imam adalah pemimpin masyarakat.
“Mereka (imam) harus berperanan mengikut kebijaksanaan masing-masing untuk memimpin masyarakat supaya masyarakat menjadikan masjid tempat untuk cari ketenangan,” katanya.
Beliau seterusnya meminta majlis agama Islam negeri agar memantau perkara itu dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas imam yang didapati taksub dengan fahaman politik sehingga mengabaikan tanggungjawab mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan