HALAMAN SANTAI

Khamis, 5 Ogos 2010

Kes enjin jet: Peguam mahu bawa saksi baru

BERNAMA

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Shah hari ini menetapkan 25 Ogos ini untuk mendengar permohonan seorang sarjan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk membatalkan pertuduhan mencuri dua enjin jet F5 terhadapnya pada Disember 2007.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Asmabi Mohamad, menetapkan tarikh itu selepas pihak pembelaan memaklumkan bahawa seorang saksi baru akan dikemukakan semasa kes prosiding itu.
Peguam N Surendran yang mewakili Sarjan N Tharmendran, memberitahu mahkamah bahawa kes itu membabitkan dakwaan serius bahawa pemohon (Tharmendran) diseksa oleh pegawai TUDM.
"Jangan beritahu saya apa-apa...failkan afidavit terlebih dahulu," kata Asmabi.

Katanya, Surendran perlu memfailkan afidavit tambahan berhubung penemuan saksi baru itu secepat mungkin kerana beliau perlu membacanya terlebih dahulu manakala pihak pendakwaan memerlukan masa untuk membalas.

Pada 6 Januari lalu, Tharmendran, 42, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan bersubahat dengan Laskar Udara Mohamad Shukri Mohamad Yusop, mencuri dua enjin pesawat F5 jenis J85-21 di Bangunan Material Processing Shed MATRA 1, Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi di sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Manakala pengarah sebuah syarikat pembekalan, K Rajandran Prasad, 38, turut mengaku tidak bersalah pada tarikh yang sama atas tuduhan dengan sengaja melupuskan dua enjin TUDM itu di alamat 49 Jalan TS 6/6 Taman Industri Subang pada 30 April 2008.

Sementara itu di luar mahkamah, Surendran memberitahu pemberita bahawa saksi baru itu akan memberi keterangan bahawa penderaan fizikal memang berlaku dari masa ke semasa siasatan dijalankan oleh pihak TUDM.

Katanya, saksi itu pernah menyaksikan sendiri bagaimana tahanan tentera didera secara fizikal pada masa yang hampir sama dengan Tharmendran.

Sebelum ini, Tharmendran mendakwa pasukan penyiasat TUDM telah menderanya secara fizikal bagi mendapatkan pengakuan bersalah daripadanya.

Tiada ulasan: