HALAMAN SANTAI

Khamis, 5 Ogos 2010

Layanan terhadap minoriti kayu ukur ketamadunan negara

Wong Meng Chuo

Jarak antara keadilan dengan mangsa dan komuniti Penan masih jauh meskipun laporan pencabulan seksual terhadap wanita Penan telah didedahkan kepada umum. Pada November 2008, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menubuhkan satu pasukan khas, yang terdiri daripada wakil NGO dan kerajaan untuk membuat kajian di tempat itu. Pendedahan laporan tersebut ditundakan sembilan bulan kemudian, biarpun telah disiapkan dalam masa dua bulan sahaja.

Penafian dan "tiada tindakan" daripada pihak polis, kerajaan persekutuan dan negeri mengundang reaksi yang amat tidak menyenangkan di kalangan masyarakat sivil. Kumpulan Sokongan Penan (yang terdiri daripada 36 NGO) pernah mengundang NGO hak asasi manusia antarabangsa, Forum Asia dan Asian Indigenous Women's Network untuk menjalankan satu siasatan di tempat itu pada November 2009, malah mengumumkan laporannya yang berjudul "Konteks Luas Eksploitasi Seksual Kaum Wanita Penan di Baram Tengah dan Hulu Baram Sarawak Malaysia".

Laporan menyeru pihak berkuasa, wakil rakyat, badan kerajaan, SUHAKAM, NGO dan Bursa Malaysia, supaya menghulurkan tangan kepada mangsa dan komunitinya, malah mengenakan tindakan undang-undang terhadap pencabul dan syarikat pembalak yang mereka berkhidmat, agar keadilan ditegakkan dan hak komuniti pedalaman terjamin.

Jelas, kunci masalahnya ada pada pihak kerajaan yang berkuasa. Apa yang mengecewakan, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Sharizat Abdul Jalil melawat ke perkampungan bernama Batu Bungan di Taman Negara Mulu, kononnya untuk menziarahi "mangsa". Tetapi, beliau tersilap tempatnya, kerana aduan eksploitasi seksual bukan berlaku di situ. Mungkin lebih sesuai kalau dikatakan beliau "melancong" ke sana.

Begitu juga apabila PM Najib Razak menziarahi Long Banga pada 22 Julai 2010, memberi tanggapan seolah-olah beliau sedang menyelesaikan masalah orang Penan. Pada hakikatnya, perkampungan itu didiami kaum pedalaman yang lain, iaitu Saban dan Kanya. Malah pengumuman projek hidroelektrik mini di Long Banga, dan pemberian dana kepada pelajar miskin, memberi gambaran seolah-olah beliau sedang berkempen untuk pilihan raya. Ia hanya memberi petanda bahawa langkah pilihan raya negeri semakin menghampiri.

Menyelindung salahlaku pembalak

Penduduk di kawasan pedalaman Sarawak umpama tinggal di negara asing. Mereka berdepan dengan kemudahan pengangkutan dan perkhidmatan kerajaan yang serba kurang. Mereka terpaksa bergantung kepada syarikat pembalak sama ada ke sekolah mahupun untuk mendapatkan rawatan perubatan. Tiada pintu untuk mereka ketika hutan adat mereka ditebang, wanita dan kanak-kanak diperkosa.

Polis hanya dengar kepada peniaga balak. Tugasnya untuk menekan tindakan protes yang mempertahankan hak kaum asli. Kesalahan rogol pekerja balak dilindungi daripada tindakan undang-undang. 15 kes didedahkan NGO, dan dua antaranya dilaporkan di Bukit Aman pada tahun 2009. Namun polis Sarawak tetap mahu mangsa membuat aduan di sana dan mengemukakan bukti.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak pula menuduh NGO asing cemburu dengan pembangunan sektor kelapa sawit di Sarawak, lantas menyebarkan khabar negatif terhadap negara kita. Menteri Kemajuan Tanah Sarawak, James Jemut Masing pula mendakwa bahawa gadis Penan berkelakuan seks sejak muda lagi, dan aduan rogol adalah cerita yang direka-reka. Malah beliau berkata semua hubungan seks ini dijalankan secara sukarela.

Pemerhati menganggap bahawa pemimpin politik tidak perlu untuk menyelindung penjenayahan yang dilakukan oleh pekerja balak. Namun demikian, apa yang diselindung sebenarnya bukan masalah moral seks, tetapi salah laku pembalakan secara keseluruhannya, termasuk rasuah, pembalakan haram, mengaut keuntungan besar-besaran dan sebagainya. Menurut siri laporan laman Sarawak Report , kekayaan keluarga Ketua Menteri telah dikaitkan dengan sektor pembalakan.

Tamadun menyelindung penjenayahan?

Ah Heng, seorang mekanik yang bekerja untuk peniaga balak di bahagian tengah Baram, adalah suami kepada mangsa kahwin paksa, Bibi. Penduduk tempatan mengetahui bahawa Ah Heng sudah mempunyai dua orang isteri (malah ada yang kata tujuh atau lapan). Sebagaimana yang diketahui, Bibi telah melahirkan tiga orang anak untuk Ah Heng. Surat beranak semuanya tidak diisi nama bapa, jelas menunjukkan bahawa perkahwinan mereka tidak sah.

Semasa ditemuramah wartawan akhbar, Ah Heng mendakwa bahawa mereka telah menyempurnakan upacara perkahwinan mengikut adat. Namun kenyataan Ah Heng dinafikan ibu bapa Bibi, malah mahu supaya anak perempuan mereka meninggalkan Ah Heng kerana perkahwinan semula mengingkari agama Kristian yang dianuti.

Bibi gagal berbuat apa-apa apabila polis enggan bertindak, kecuali tunduk kepada ugutan dan ancaman. Bibi takut ibu bapa dan orang kampungnya diancam, malah pergi menggugurkan laporannya di Long Lama ditemani Ah Heng. Bibi dipaksa mendakwa bahawa dirinya dihasut NGO sebelum ini. Sehingga hari ini Ah Heng masih bebas dari tindakan undang-undang, terus untuk membina "dinastinya" dengan isteri yang ramai di kawasan pedalaman.

Sekiranya orang seperti Ah Heng tidak diambil tindakan, maka keadilan untuk Penan tidak dapat ditegakkan. Dengan kata lain, semakin ramai wanita akan dimangsakan oleh pencabul seksual ini.

Segala-gala "penyelindungan" ini menjurus kepada penjenayahan seksual, memperlihatkan bagaimana penyalahgunaan kuasa, pencerobohan hutan dan eksploitasi terhadap kaum dalam pedalaman. Ada yang mengatakan, kayu ukur ketamadunan sesebuah negara sebenarnya bergantung kepada sejauh manakah negara ini melayan golongan minoritinya.

Biarpun Malaysia berjaya melayakkan diri sebagai negara yang berpendapatan tinggi dalam tempoh 10 tahun sebagaimana yang dicita-citakan oleh PM Najib, namun demikian, seandainya kita kekal sebagai masyarakat yang kurang bertamadun, apa pula yang boleh dimegahkan?

*Wong Meng Chuo ialah penduduk Sarawak. Diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang dari artikel yang disiarkan di kolum MerdekaReview, edisi Cina.

Tiada ulasan: