SHENZHEN: Berdasarkan anggaran 17 juta pelancong dari China dan Hong Kong yang melakukan perjalanan ke luar negara tahun lepas, Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen mahu Malaysia mendapat sebahagian besar daripada pasaran yang semakin ber- kembang ini, terutamanya pelancongan mewah.
Kempen promosi terkini beliau ke Hong Kong dan selatan China tahun lepas membuahkan beberapa hasil menarik: terdapat minat yang semakin berkembang dalam pelancongan me- wah di samping pelancongan seni dan budaya selain ekopelancongan dalam kalangan pelancong warga China yang berada.
“Permintaan untuk pelancongan mewah telah meningkat sejak beberapa tahun lepas, terutamanya di China dan Hong Kong, memandangkan banyak daripada pelancong mereka mahukan pelancongan berkualiti berbanding produk murah dengan perkhidmatan yang lemah. Mereka lazimnya banyak wang, kesuntukan masa namun cere- wet,” katanya kepada Bernama di akhir promosi terbaru beliau.
Dr Ng berkata kementeriannya menyedari peri pentingnya pelancong golongan atasan yang ingin melalui gaya hidup mewah semasa melakukan perjalanan mereka.
“Kita mesti membina diri sebagai Malaysia yang indah dan warisan negara yang mempersonakan membolehkan kita menawarkan kepelbagaian produk yang sofistikated misalnya golf, rawatan spa selain pelancongan seni,” katanya.
Dr Ng berkata pelancongan mewah bermaksud pakej pelancongan mestilah RM5,000 ke atas setiap satu dengan penginapan yang menepati citarasa golongan berada, makanan hebat dan aktiviti eksklusif yang digabungkan bagi pelancong kelas atasan.
Mengenai maklum balas daripada pengusaha pelancongan dan pengembaraan di Hong Kong dan selatan China, beliau berkata Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk mendapat lebih banyak kedatangan pelancong dari Hong Kong dan China tahun ini.
Sebagai tambahan kepada segmen mewah, Dr Ng berkata Malaysia turut berharap dapat menarik pelancong dari Hong Kong dan China dalam pakej pelancongan warga emas, ekopelancongan, membeli-belah, makanan dan inap desa.
“Selain pakej pelancongan, kami juga berharap dapat menarik pelabur dari China untuk melabur dalam produk berkaitan pelancongan seperti restoran atau melabur dalam hartanah menerusi program ‘Malaysia, Rumah Keduaku’,” katanya.
Sebagai langkah pertama ke arah mewujudkan lebih banyak kesedaran dalam kalangan pelancong dari Hong Kong dan China kepada segmen seni dan seterusnya meletakkan Malaysia sebagai hab pelancongan, beliau berkata Malaysia akan mengambil bahagian dalam Pameran Seni dan Antik Antarabangsa Hong Kong di Pusat Konvensyen dan Pameran Hong Kong dari 3 hingga 6 Okt.
Dr Ng turut berharap agar Festival Seni Kontemporari 1Malaysia dan Karnival Jualan Mega Malaysia serta festival makanan dari Oktober hingga Disember tahun ini akan menarik lebih banyak pelancong dari luar negara.
Malaysia, katanya akan terus menganjurkan Festival Kasut Antarabang- sa dan F1 Petronas Malaysian Grand Prix sebagai sebahagian daripada usaha untuk menyediakan lebih banyak produk pelancongan yang menarik.
Pelancongan menyumbang kira-kira RM52 bilion kepada perolehan negara tahun lepas daripada sejumlah 23.65 juta kedatangan pelancong (2008: 22.05 juta pelancong).
Bagi 2010, sasarannya ialah RM54 bilion perolehan daripada unjuran 24 juta ketibaan pelancong.
Malaysia juga merupakan satu daripada tujuh negara yang mencatat- kan pertumbuhan positif dalam keti- baan pelancong tahun lepas ketika negara lain di dunia mencatatkan penurunan empat peratus, kesan daripada krisis ekonomi global dan wabak selesema H1N1.
Menyifatkan promosinya sebagai berjaya, Dr Ng berkata: “kami telah pun mencapai apa yang kami hasrat- kan, iaitu mempromosikan pelancongan seni yang baru, memandangkan kami bertemu dengan orang yang tepat, yang terlibat dalam industri itu di sini untuk memaklumkan kepada mereka bahawa kerajaan Malaysia berminat untuk memajukan pelancongan seni.”
Ketika di Hong Kong, beliau bertemu pelbagai pemimpin industri seni, termasuk pengasas Pameran Seni Halus dan Antik Antarabangsa Hong Kong Andy Hei, dan pengerusi Persatuan Budaya Global China Alice Chiu.
Dr Ng berkata Chiu dijangka mengetuai sekumpulan delegasi ke Malaysia bulan depan dan kementeriannya mengalu-alukan kedatangan mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan