HALAMAN SANTAI

Sabtu, 21 Ogos 2010

Muhyiddin Membisu Seribu Bahasa Isu Pengetua Rasis

SUARA KEADILAN

SHAH ALAM - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi telah membuktikan beliau enggan menyokong gagasan dan konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak apabila bersikap membisu dalam isu ucapan berbaur perkauman yang diungkapkan oleh Pengetua SMK Tunku Abdul Rahman Petra.

Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua berkata Muhyiddin gagal menerima 1Malaysia dengan sepenuh hati apabila beliau menentang definisi rasmi konsep tersebut yang meminta rakyat Malaysia supaya mendahulukan Malaysia terlebih dahulu selepas bangsa, agama, rantau geografi dan latar belakang sosio ekonomi.

"Timbalan Perdana Menteri telah memilih untuk menolak hasrat 1Malaysia, dengan bertegas yang dia “Melayu dahulu” dan kemudiannya menolak konsep “Malaysia dahulu” dengan mengatakan 'Bagaimana boleh saya mengatakan saya Malaysia dahulu dan Melayu kemudian? Semua orang Melayu akan ketawakan saya, dan ia tidak sesuai'.

"Sekarang, apabila Pengetua SMK Tunku Abdul Rahman Putra, Siti Inshah Mansor dikatakan telah mengeluarkan kenyataan yang bersifat perkauman semasa perhimpunan sekolah untuk pelajar pada 12 Ogos 2010, Tan Sri Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran Malaysia telah memilih untuk membisu dalam perkara yang melibatkan kepentingan negara," tegas Tony dalam kenyataan beliau.

Siti Inshah, dalam perhimpunan sekolah berkenaan didakwa mengatakan 'pelajar Cina tidak diperlukan di sini dan boleh pulang ke China atau Sekolah Foon Yew. Kepada pelajar India, rantai keagamaan yang dipakai di leher dan tangan membuatkan mereka kelihatan seperti anjing kerana hanya anjing diikat sebegitu'.

Menurut Tony yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, ucapan sedemikian secara serius telah menghina kaum Cina dan India di Malaysia.

"Kenyataan sedemikian mesti dikutuk segera dan tanpa berlengah kerana ia seperti satu percubaan untuk membahagikan rakyat Malaysia, dan menentang ideal 1Malaysia. Dengan memilih untuk membisu, Tan Sri Muhyiddin sekali lagi menunjukkan keengganannya menyokong konsep 1Malaysia," jelas Tony lagi.

Konsep 1Malaysia selanjutnya terus diperlekehkan apabila Muhyiddin memberitahu bahawa ia hanya merupakan satu salah faham dan masalah tersebut telah diselesaikan antara pelajar dan pengetua sekolah itu tanpa mengambil sebarang tindakan terhadap pengetua tersebut.

"Rakyat Malaysia gagal untuk memahami bagaimana ungkapan yang tidak sensitif ini disebabkan oleh “salah faham” dan melihat tindakan Kementerian Pelajaran sebagai menyembunyikan dan satu usaha menyapu perkara itu di bawah tikar," tegas beliau.

Katanya, ia juga bertentangan dengan pendirian Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong dan Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang mahukan kementerian mengambil tindakan keras terhadap pengetua tersebut.

Tiada ulasan: