HALAMAN SANTAI

Khamis, 19 Ogos 2010

Nilai Kasih Sayang

Oleh Azizi Hj Abdullah

Ahad 1 Ogos 2010 lalu , saya membawa beberapa orang kawan-kawan ke rumah Sasterawan Negara Dato’ Hj Shahnon Ahmad di Minden Hight Pulau Pinang untuk membaca tahlil aruah anaknya, Suhaimi yang meninggal dunia seminggu sebelum ini.

“ Hang boleh tak jadi khalifah baca tahlil?” katanya melalui telefon kepada saya. “Maaf Cikgu, saya tak boleh,” saya berterus terang. Bagaimana pun sejam selepas itu saya mengaku akan membawa kawan-kawan termasuk khalifahnya sekali

Mengadakan bacaan tahlil dengan kenduri aruah adalah biasa. Saya hadir di mana-mana sebagai menghormati jemputan walaupun saya kurang setuju dengan tahlil dan kenduri aruah ini. Tapi apa yang saya lihat dari apa yang berlaku kepada Sasterawan Negara Dato’ Shahnon ini memberi pengertian lain terhadap saya.

Shahnon saya anggap guru saya dalam berkreatif dan dia menganggap saya sebagai anaknya. Apabila dia menjemput saya dan mengadakan majlis tahlil untuk anaknya Suhaimi, pensyarah di USM, saya agak teruja kerana Suhaimi, anaknya ini pendiam, baru sebulan lalu dia mewawancara saya berkenaan pembangunan orang Melayu di Pulau Pinang

Bukan tidak boleh seorang bapa mengadakan majlis bacaan tahlil dan kenduri aruah tapi dalam kes ini saya rasa Shahnon bukan orangnya. Suhaimi anaknya sudah berkeluarga, mempunyai rumah sendiri dan sebelum kematiannya, Suhaimi tinggal berasingan, hanya menjenguk ketika Shahnon menderita sakit.

Tapi Shahnon telah berusaha sendiri. Ini yang saya merasa anih. Apabila saya cuba merenung kembali karya-karya Shahnon yang bersangkut paut dengan kekeluargaan, ternyata Shahnon seorang bapa yang sangat kasih sayang terhadap anak-anak. Keakaraban dan kemanjaan tidak akan dapat dilihat di depan mata tetapi melalui karya ternyata sekali Shahnon telah menaburkan kasih sayang terhadap anak-anak begitu dalam.

Dengan menjemput saya dan kawan-kawan di hari lain yang telahpun disempurnakan sebahagiannya, saya melihat tunduk dan diamnya ketika tahlil di baca, Shahnon sangat tidak menyangka bagaimana Allah menghasihi anaknya lebih dahulu darinya. Sepatutnya Shahnon lebih dulu yang pergi dan Suhaimilah yang mengatur mengadakan majlid tahlil untuk bapanya, tetapi apa yang berlaku sebaliknya.

Sebelum ini Shahnon menderita dengan penyakit yang saya tidak pandai menyebutnya. Dia terlantar, sukar bergerak, lemah dan berbagai lagi. Saya sesekali membawa ikan sepat benua, ikan haruan untuknya kerana beliau tidak boleh makan ikan laut ketika itu.

Melihat keadaannya waktu itu, melihat Suhaimi ketika itu, ternyata Suhaimi sangat peka dengan penyakit bapanya dan mengambil berat. Tetapi Tuhan lebih berkuasa, Suhaimi dulu yang diambilNya.

Shahnon hampir berhenti menulis kerana kesihatan tidak mengizinkan. Jika beliau menulis, saya kira beliau akan meluahkan nilai kasih sayangnya terhadap gemulah anaknya ini.

Dia tidak bercakap banyak. Dia berkeadaan tenang. Mampu tersenyum dan sesekali ketawa. Tapi ternyata malam tahlil yang saya dengan kawan-kawan turut serta, nampak sangat Shahnon sangat berpuas hati kerana sudah berkali-kali dia membuktikan kasih sayangnya terhadap anaknya kerana selama ini beliau tidak menduga, keadaan dan takdir menjadi terbalik. Dia masih dalam keuzuran. Dia Cuma mampu duduk di atas kerusi, tidak boleh duduk bersila.

Dia menadah tangan, bukan tadahan yang menunjukan kasih sayangnya terhadap anaknya, tetapi dia meraup doa permintaan dari orang yang membaca agar anaknya lebih dulu berada di alam barzahk, menunggu di pintu syuga kerana dia belum lagi dipanggil.

Di tahannya air mata kerana bagaimana mencurah keluar pun, anak yang meninggal tidak akan kembali tetapi dia dalam keadaan reda itulah, diyakinnya gemula itu akan menunggunya di akhirat nanti.

Saya tidak pernah lihat Shahnon bermanja dengan anak-anaknya tetapi saya cukup merasa Shahnon bermanja dengan anak-anaknya melalui bahasa kreatif di dalam karya-karyanya.

Saya tidak sempat menziarahi aruah anaknya di hari itu tetapi dengan kehadiran majlis tahlil pada Ahad malam yang lalu saya dapat merasakan Shahnon sangat gigih menghadapi keadaan derita di masa lalu. Dia percaya kepada keberkesanan usaha dan ikhtiar. Saya sendiri tidak pernah menyangka beliau yang sakit ‘bagaikan tiada ubat’ itu, tiba-tiba mampu memandu kereta semula dalam jarak dekat, sedangkan ketika sakit, perkataan mati bermain di bibirnya.

“Hang makan ubat betul-betul. Jangan takut nak bedah. Insyaallah, baik,” telefonnya kepada saya dua bulan yang lalu apabila dia mendapat tahu saya masuk hospital.

Ketika hendak meninggalkan rumahnya, sekali lagi saya melihat awan nestapa menyelubungi Shahnon dan Kak Wan, isterinya, tapi mereka tetap ceria dan tabah. Dalam keadaan usia di penghujung ini, saya teringat pula Sasterawan Negara Dato’ Hj Abdullah Hussain. Saya sangat lama bercadang hendak menziarahinya. Dato’ Abdullah Hussain juga dalam keadaan uzur tetapi ceria dalam menghadapi hidup.

Catatan ini bukanlah sesuatu yang istimewa. Tapi saya sangat merasai kenihan dan ketakjuban melihat Shahnon yang telah menunjukan nilai kasih sayangnya terhadap anak walaupun bukanlah pelik seorang bapa mengadakan majlis tahlil terhadap aruah anaknya. Bagi saya keadaan ini tiada bahasa yang mampu saya lebihkan dari perkataan; inilah nilai kasih sayangnya!

Tiada ulasan: